KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) merakam keterangan individu disyaki memuat naik kandungan jelik berunsur perkauman di platform media sosialnya, dipercayai menyentuh pelantikan leftenan jeneral baharu angkatan tentera.
Dalam kenyataan, SKMM berkata kandungan itu mengandungi naratif berbaur perkauman yang berpotensi mencetuskan provokasi serta mengganggu-gugat keharmonian dan perpaduan rakyat.
Katanya, rakaman percakapan diadakan pada 28 Jun di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh.
“Individu tersebut telah dipanggil untuk memberikan keterangan dan membantu siasatan. Satu unit telefon bimbit dan satu unit kad SIM turut disita bagi melengkapkan proses siasatan,” katanya.
Suruhanjaya itu berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
SKMM turut mengingatkan orang ramai tidak memuat naik, menyebar atau berkongsi sebarang kandungan menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) khususnya yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“SKMM kekal komited untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, sejahtera dan dihormati, selaras dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional dan keharmonian antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia,” menurut kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad memuat naik hantaran bersifat satira di Facebook, mengenai pelantikan perdana menteri berketurunan Cina pada 2058.
Mengiringi hantaran itu gambar penganugerahan pangkat leftenan jeneral ATM kepada Johnny Lim Eng Seng, dengan keterangan ia sekadar hiasan. Hantaran itu telah dipadam tanpa penjelasan lanjut.
Bagaimanapun, menantu kepada Presiden PAS Hadi Awang itu menegaskan hantaran kontroversinya yang memuat naik gambar leftenan jeneral Cina pertama sebagai ‘spin’ di luar konteks.
Zaharudin berkata, beliau telah menyatakan dalam hantaran tersebut bahawa gambar Lim tiada kaitan penulisannya yang dilaporkan media sebagai satira.
Difahamkan Zaharudin diminta hadir untuk dirakam keterangan pada 2.30 petang Sabtu lalu dan mesej menyatakan seluruh ahli PAS dipelawa memberi sokongan kepadanya di Balai Polis Saujana Utama.