KLAAS inisiatif baharu peringkat IPT ke arah ekosistem pendidikan alam sekitar

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

TRONOH – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan melaksanakan Program Kampus Lestari Anugerah Alam Sekitar (KLAAS), yang merupakan inisiatif baharu di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

KLAAS merupakan program pertama seumpamanya di peringkat kebangsaan, ke arah membentuk ekosistem pendidikan alam sekitar yang mampan dan berstruktur, hasil kerjasama strategik antara Jabatan Alam Sekitar (JAS) , Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

KLAAS juga sebagai kesinambungan kepada Program Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) yang telah berjaya melahirkan ribuan pelajar berwibawa di peringkat sekolah.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) NRES, Datuk Nor Yahati Awang berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar Antara IPT Kali ke -31 di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Bandar Seri Iskandar, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAS, Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar; Provos UTP, Dato’ Ir Ts Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merangkap Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Prof Dr. Mohd Izani Mohd Zain; dan Naib Presiden Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar Kumpulan Petronas, Zamri Japar.

Nor Yahati berkata melalui KLAAS, bukan sahaja memperluaskan budaya kelestarian dari sekolah ke IPT, tetapi juga menilai secara menyeluruh amalan kelestarian sesebuah kampus, termasuk aspek pendidikan, penyelidikan, pengurusan sisa, dan penglibatan komuniti.

Menurut beliau, pertandingan debat ini seiring dengan aspirasi negara dalam menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) antaranya di bawah SDG 4 melalui Pendidikan Berkualiti.

“Pentingnya melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berpengetahuan, malah berani memperjuangkan kelestarian alam sekitar melalui platform yang berimpak tinggi seperti debat ini,”katanya.

“Pendedahan awal kepada wacana ilmiah sebegini bukan sahaja merangsang pemikiran kritikal dalam kalangan mahasiswa, malah turut menyemai nilai tanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.

“Hal ini secara langsung menyokong usaha mewujudkan masyarakat yang lebih cakna, lestari dan berdaya tahan terhadap cabaran alam sekitar, ”katanya lagi.

Dalam pada itu, Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar Antara IPT Kali Ke-31 menyaksikan Universiti Malaya (UM) yang diwakili oleh Azhad Hafiz Md Razip Han; Khairul Nur Ayuni Rodzan Khairul; Aiesya Salsabila Mohd Radzuan; dan Ali Hydar Hafizi muncul juara dengan membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM12,000 serta sijil penyertaan.

UTP pula diumumkan naib juara, membawa pulang piala iringan, wang tunai RM7,000 dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga dirangkul oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menerima piala iringan, wang tunai RM2,000 dan sijil penyertaan.

Ahmad Idzhad Hamzie dari Fakulti Kejuruteraan Petroleum UTP telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik dan menerima wang tunai RM2,000.

Pertandingan berprestij ini mengetengahkan perbahasan kritis pengurusan dan isu-isu alam sekitar terkini, bidang kuasa kerajaan persekutuan dan negeri, penguatkuasaan dan perundangan alam sekitar termasuklah pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Ianya mula dianjurkan pada 1986 kemudiannya ndijadikan acara tahunan sejak 1991 dan merupakan program debat intervarsiti tertua di Malaysia yang telah diiktiraf oleh MADUM.

Kali ini melibatkan penyertaan 28 IPT seluruh negara, diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2025 yang dianjurkan oleh JAS dengan kerjasama MADUM, KPT, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Penganjurannya bukan sahaja menjadi medan intelektual, malah platform penting dalam menyampaikan mesej bahawa kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan aktif pelbagai pihak termasuk kerajaan, swasta, institusi akademik dan masyarakat umum.- SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat