CYBERJAYA, – Aplikasi pemesejan popular, Telegram, telah menutup saluran kontroversi Edisi Siasat susulan tindakan undang-undang yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) awal minggu ini.
Penutupan itu berlaku tidak lama selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi interim bagi menyekat kandungan yang disifatkan sebagai memudaratkan ketenteraman awam dan menghakis kepercayaan terhadap institusi negara. Tindakan ini merupakan kali pertama MCMC mengambil pendekatan undang-undang terhadap penyedia platform seperti Telegram.
Saluran Edisi Siasat, bersama satu lagi saluran bernama Edisi Khas, sebelum ini dikenalpasti sering menerbitkan dakwaan salah laku melibatkan individu dan agensi kerajaan, termasuk kandungan yang tidak dapat disahkan kesahihannya. Kandungan seperti itu didakwa melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut kenyataan MCMC, langkah ini diambil selepas Telegram gagal mematuhi beberapa amaran sebelum ini dan tidak memberi kerjasama dalam menurunkan kandungan yang dianggap memudaratkan.
Telegram, yang berdaftar sebagai pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi di Malaysia, kini berdepan tekanan untuk mematuhi peraturan tempatan berkaitan keselamatan siber dan penyebaran maklumat palsu.
Kes ini dijangka memberi impak besar terhadap garis panduan penguatkuasaan ke atas platform digital di Malaysia, khususnya berkaitan tanggungjawab penyedia platform terhadap kandungan yang diterbitkan pengguna.