RIYADH – Seorang jemaah warga Indonesia disahkan meninggal dunia akibat dehidrasi selepas terkandas di kawasan gurun Al-Jumum, Arab Saudi, ketika cuba memasuki Makkah melalui laluan haram bagi menunaikan ibadah haji.
Menurut laporan Tempo.co, mangsa dikenali sebagai SM meninggal dunia selepas terpaksa berjalan merentasi padang pasir dalam suhu yang melampau bersama dua lagi warga Indonesia, dikenali sebagai J dan S.
Ketiga-tiga individu terbabit didapati cuba memasuki Makkah tanpa prosedur dan visa haji yang sah.
“Kami sahkan SM terkandas bersama dua lagi warga Indonesia dalam usaha untuk memasuki Makkah tanpa prosedur rasmi,” kata Konsul Jeneral Republik Indonesia di Jeddah, Yusron Ambary, dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Yusron, mereka menggunakan beberapa jenis visa yang sah untuk lawatan biasa ke Arab Saudi, namun tidak dibenarkan untuk tujuan menunaikan haji.
Difahamkan sebelum kejadian, SM bersama 10 lagi warga Indonesia pernah ditahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi dalam pemeriksaan keselamatan berkaitan musim haji dan dihantar pulang ke Jeddah. Namun SM, bersama J dan S, masih nekad cuba memasuki Makkah melalui laluan tidak sah.
Mereka dipercayai menggunakan khidmat teksi untuk kembali ke Makkah, namun pemandu yang bimbang akan ditahan pihak berkuasa telah menurunkan mereka di tengah padang pasir, mengakibatkan ketiga-tiganya terkandas dalam keadaan cuaca ekstrem.
Situasi itu berakhir tragis apabila SM meninggal dunia akibat dehidrasi sebelum pasukan keselamatan berjaya mengesan mereka menggunakan teknologi dron. J dan S pula diselamatkan dan kini dirawat di hospital.
“Jenazah SM kini ditempatkan di hospital Makkah untuk urusan dokumentasi dan visa. Kami sedang berhubung dengan keluarganya di Madura dan bersedia untuk urusan pengebumian,” tambah Yusron.
Beliau turut menasihati warga Indonesia agar tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang menawarkan peluang menunaikan haji melalui kaedah tidak sah atau menyalahi peraturan.