Hujahan AGC tak benar mengenai Titah Addendum sebabkan saya hilang tahanan rumah – Najib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, hujahan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang tidak benar mengenai Titah Addendum di Mahkamah Tinggi menyebabkan beliau kehilangan sebahagian kebebasan melalui tahanan di rumah.

Bekas Ahli Parlimen Pekan dan bekas Presiden Umno itu berkata, AGC mempunyai kewajipan untuk berterus terang kepadanya dan orang awam berhubung kewujudan Titah Addendum.

Najib berkata, bekas Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh ketika menjawat jawatan itu dengan sedar dan sengaja mengarahkan atau menyebabkan hujahan yang tidak benar dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi dalam permohonan semakan kehakiman beliau berhubung Titah Addendum.

Menurut Najib, hujahan berkenaan bahawa kewujudan Titah Addendum adalah tidak pasti, bersifat spekulatif atau berdasarkan dengar cakap, sedangkan Ahmad Terrirudin mempunyai pengetahuan peribadi mengenai kewujudan titah terbabit.

Responden (Ahmad Terrirudin) sendiri telah menerima Titah Addendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang telah menitahkan secara nama supaya beliau melaksanakan tahanan rumah ke atasnya daripada 29 Januari tahun lalu.

Tindakan sedemikian, secara prima facie, adalah satu cubaan yang disengajakan untuk mengelirukan mahkamah dan memesongkan perjalanan keadilan.

“Kesan daripada tindakan ini adalah saya dinafikan daripada mendapatkan remedi yang sewajarnya berkuat kuasa mulai 29 Januari 2024 berdasarkan hak prerogatif pengampunan melalui Titah Addendum, sekali gus menyebabkan perlanjutan pemenjaraan di penjara (dan bukannya tahanan rumah).

“Ia dengan itu menyebabkan saya menanggung prosiding guaman dan kos yang tidak diperlukan, selain kehilangan sebahagian kebebasan melalui tahanan di rumah berbanding dengan pemenjaraan sepenuhnya di penjara.

“Tindakan responden mengesahkan hujahan palsu sedemikian kepada mahkamah adalah bertentangan dengan kewajipan utama beliau terhadap pentadbiran keadilan,” katanya lapor BH pada Jumaat.

Najib berkata demikian dalam permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding pengkomitan (menghina mahkamah) terhadap Ahmad Terrirudin, secara ex-parte (sebelah pihak yang difailkan pada 21 Mei lalu.

Dalam permohonan kebenaran itu, Najib yang bertindak selaku pemohon menamakan Ahmad Terrirudin selaku responden tunggal.

Najib berkata, tindakan responden itu menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman dan satu penghinaan terhadap mahkamah serta gangguan terhadap pentadbiran keadilan yang sewajarnya.

Ia terutamanya apabila AGC mempunyai kewajipan untuk berterus terang terhadap beliau dan orang awam secara amnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat