KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menimbang untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan tiga hakim kanan, termasuk Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Ketika ditanya mengenai perkara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekadar menjawab ringkas: “Kita sedang pertimbangkan.”
Awal hari ini, Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan Malaysia (Hakam) menyuarakan kebimbangan di mana tiga hakim kanan berkenaan belum menerima lanjutan khidmat enam bulan yang menjadi amalan, walaupun tarikh persaraan semakin hampir.
Selain Tengku Maimun, turut belum menerima lanjutan adalah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan.
Hakam mengambil maklum lanjutan telah diberikan kepada lima hakim kanan, termasuk Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Dalam perkembangan berasingan, Anwar berkata kerajaan juga sedang mengkaji saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, yang menyebut dinaikan umur persaraan kepada 65.
“Itu belum dibawa ke Kabinet…selalunya, kertas (cadangan) akan dibincangkan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“Jadi, biar mereka mengkaji implikasinya, kewangan, peluang pekerjaan baharu…banyak implikasinya.
Pada Selasa, Azalina menyatakan pandangan peribadi bahawa ramai kalangan berusia 60-an kekal aktif, berdasarkan pemerhatian semasa.