KUALA LUMPUR – Pendekatan kempen Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli menjelang pemilihan parti hujung minggu ini yang ‘terlajak’ bukan satu tindakan bijaksana.
Menurut Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin kempen cara Rafizi dilihat sangat tidak kondusif dengan mengemukakan hujah yang boleh mencacatkan persepsi ahli parti serta rakyat Malaysia terhadap kepemimpinan negara ketika ini.
Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Hang Tuah Jaya, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR sudah memberi panduan dan peringatan kepada semua calon bertanding pada pemilihan kali ini supaya tidak ‘terlajak’ ketika berkempen, sebaliknya perlu dilakukan dalam suasana penuh harmoni.
“Sebagai pemimpin lama dalam politik kita faham (saranan Anwar itu) dan tentunya kita mahu menjadikan pemilihan ini satu medan untuk memilih pemimpin yang dirasakan boleh menyediakan satu wadah yang boleh diterima oleh pelbagai kaum, kumpulan serta lapisan usia.
“Dalam keadaan sekarang ini rakyat negara ini memberi fokus kepada keadilan kerana kita adalah parti yang teras serta pengemudi kepada kerajaan Malaysia Madani dan kita mesti menunjukkan contoh yang baik.
“Saya tidak fikir pendekatan (dilakukan Rafizi) itu bijaksana kerana kita seharusnya memberikan satu keadaan yang kondusif dan kefahaman jelas kepada anggota parti mengenai hala tuju kita daripada melakukan tindakan yang boleh mencacatkan persepsi dalam kalangan ahli serta rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kunci Rumah Mesra Rakyat 2025 Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kepada dua penerima di Taman Desa Molek, Ayer Molek lapor BH di Melaka.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Mohd Jamil Idris; Ketua Pengarah SPNB, Abdul Latif Mokhtar dan Pengarah SPNB Melaka, Khairul Azhar Abdullah.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi menerusi beberapa siri kempen Jelajah HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa) melakukan serangan terbuka kepada kepemimpinan PKR, selain membuat beberapa kenyataan ‘panas’.
Ini termasuk membayangkan beliau mungkin akan kembali tidak dibenarkan masuk ke Sarawak sekiranya tiada lagi berjawatan dalam kerajaan dan parti.
Susulan itu, Shamsul Iskandar mengajak pengundi serta perwakilan Kongres PKR yang akan bermula esok membuat pilihan bijak bagi memastikan pemimpin nombor dua yang dipilih mestilah mampu untuk bersama dengan Anwar mengemudi parti.
“Saya percaya perwakilan bijak menilai pemimpin yang bagaimana untuk diletakkan di posisi nombor dua bagi membantu Perdana Menteri,” katanya.