TEXAS – Kenderaan elektrik (EV) berprofil tinggi keluaran Tesla, Cybertruck, kini berdepan tamparan hebat apabila laporan menunjukkan nilai pasarannya merosot teruk, manakala stok tidak terjual terus menimbun – sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju sebenar empayar automotif Elon Musk.
Menurut laporan, Tesla kini memiliki lebih 10,000 unit Cybertruck yang belum terjual, dianggarkan bernilai lebih $800 juta (sekitar RM3.7 bilion). Model ini, yang sebelum ini digambarkan sebagai revolusioner, kini semakin dikritik kerana masalah kualiti, reka bentuk yang tidak praktikal, serta kegagalan dalam pasaran.
Lebih mengejutkan, Tesla dilaporkan mula menerima kenderaan terpakai Cybertruck untuk trade-in — selepas lebih setahun proses penghantaran bermula. Namun, pemilik mendakwa nilai tawaran trade-in yang diberikan terlalu rendah berbanding harga asal.
Sebagai contoh, satu unit Cybertruck AWD Foundation Series yang dibeli pada harga sekitar $100,000, hanya ditawarkan $65,400 oleh Tesla sebagai trade-in — satu penyusutan nilai kira-kira 34.6% dalam tempoh kurang setahun. Lazimnya, sebuah trak pikap konvensional memerlukan tiga hingga empat tahun untuk mengalami susut nilai sedemikian.
Situasi ini semakin memburukkan reputasi Tesla yang ketika ini juga berdepan kritikan terhadap program pajakan (leasing) yang didedahkan baru-baru ini. Tidak seperti amalan biasa di mana pengguna boleh membeli kenderaan selepas tamat tempoh pajakan, polisi dalaman Tesla menetapkan bahawa kenderaan mesti dipulangkan semula — kononnya untuk digunakan dalam rangkaian “robotaxi” kendalian Tesla.
Namun begitu, projek robotaxi yang dijanjikan sejak beberapa tahun lalu masih belum direalisasikan. Sebaliknya, kenderaan tersebut dikemaskini dengan perisian baharu dan dijual semula kepada pelanggan lain — sering kali dengan harga lebih tinggi.
Situasi ini bercanggah sama sekali dengan kenyataan Musk pada tahun 2019, yang menyatakan bahawa kenderaan Tesla akan “menaik nilai” seiring masa — satu dakwaan yang kini dilihat tidak berasas.
Masalah ini bukan hanya membabitkan Cybertruck. Data pasaran menunjukkan bahawa Model 3 tahun 2021 yang dahulu dijual pada harga sekitar $40,000 kini hanya bernilai sekitar $23,700 di pasaran kereta terpakai – penyusutan hampir 29%, berbanding purata susut nilai pasaran kereta terpakai biasa iaitu 19.5%, menurut laman Edmunds.
Kelewatan pelancaran teknologi robotaxi, isu kualiti produk, serta kejatuhan nilai jual semula kini meletakkan Tesla dalam kedudukan yang semakin tertekan. Bagi para pelabur dan pengguna, mesejnya semakin jelas: jangan jangka kenderaan Tesla akan meningkat nilai — sebaliknya, bersedia untuk kejatuhan harga yang ketara.