SEPANG – Seramai 25 warganegara asing telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara Januari hingga April 2025 ketika cuba keluar dari Malaysia.
Susulan penahanan itu, empat orang pegawai pula sedang disiasat kerana didakwa bersubahat membantu warganegara asing melepasi pemeriksaan imigresen dalam tempoh yang sama.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memaklumkan, warganegara Vietnam, Kemboja, India, dan Indonesia itu ditahan kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini dan pengesahan masuk mereka disyaki telah diperoleh tanpa prosedur yang sah.
Penahanan tersebut adalah hasil daripada pemeriksaan berkala dan pemantauan berterusan oleh AKPS KLIA sepanjang tempoh tersebut.
“Sementara itu, 4 orang pegawai yang disiasat tersebut disyaki terlibat dalam aktiviti “counter setting”, iaitu amalan melepaskan individu tertentu melalui kaunter pemeriksaan tanpa melalui prosedur yang sah dan teratur.
“AKPS amat memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau individu yang terlibat dalam sebarang salah laku atau perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara.
“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawai yang terbabit,” kata AKPS menurut kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, AKPS akan terus mempergiatkan usaha pemantauan serta memperkemas mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pintu masuk negara tidak disalah guna oleh mana-mana pihak yang cuba menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara.