Pengampunan Najib : Saya Dikecam Buat Atau Tidak Buat – Anwar

- Advertisement -

CYBERJAYA : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap individu yang disabitkan kesalahan tetap mempunyai hak untuk mengemukakan permohonan pengampunan, termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam wawancara bersama saluran antarabangsa Al Jazeera, Anwar berkata beliau tetap akan berdepan kecaman sama ada beliau menyokong atau tidak permohonan tersebut.

“Buat pun saya kena kecam, tak buat pun saya kena kecam. Jadi akhirnya, anda lakukan perkara yang betul,” katanya, merujuk kepada keputusannya membentangkan permohonan pengampunan Najib kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB).

Anwar menjelaskan bahawa sebagai ketua kerajaan, beliau tidak boleh menunjukkan sebarang sikap berat sebelah dan perlu menghormati proses undang-undang yang memberikan peluang kepada semua pesalah, termasuk Najib, untuk memohon pengampunan.

Beliau turut memperjelas bahawa keputusan akhir terletak sepenuhnya dalam tangan FTPB.

“Adakah saya ahli FTPB? Tidak. Adakah pandangan saya diminta? Tidak. Adakah saya memberikan nasihat dari segi komplikasi undang-undang? Ya, tetapi setakat itu sahaja,” katanya.

Anwar turut menepis dakwaan bahawa pengurangan hukuman Najib adalah hasil campur tangan politik. Katanya, persepsi bahawa beliau secara peribadi menyebabkan pengurangan hukuman itu adalah tidak tepat.

Sebagai rekod, pada Februari 2024, FTPB memaklumkan bahawa hukuman penjara Najib dalam kes SRC International telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam, manakala jumlah dendanya diturunkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Anwar turut menyuarakan rasa hairan terhadap tumpuan melampau yang diberikan terhadap isu Najib, terutamanya daripada golongan yang disifatkan sebagai ‘pengkritik progresif’.

“Proses sewajarnya diteruskan, tetapi persoalannya ialah mengapa obsesi terhadap lelaki ini yang berada dalam penjara? Demi Tuhan, dia berada dalam penjara,” katanya.

Menurutnya, pentadbiran negara tidak wajar diganggu oleh isu berulang yang hanya menumpukan kepada seorang individu, sedangkan masih banyak lagi kes rasuah lain yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

“Saya fikir ini adalah helah jahat yang terang-terangan oleh beberapa penyangak ini yang terus menonjolkan Najib berulang kali supaya kes mereka diabaikan.”

Anwar menggesa agar kerajaan perpaduan diberi ruang untuk melaksanakan agenda reformasi, menegakkan kedaulatan undang-undang, dan memperkukuh sistem kehakiman negara.

“Biarkan kami mentadbir negara ini dan tidak dibebani oleh satu obsesi.”

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat