Izzah mungkin jadi bakal PM, tak mustahil Rafizi tarik diri saat akhir – A Kadir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dengan sokongan yang padu akar umbi kepada Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Rafizi Ramli hanya boleh berharap menjadi wira yang terkorban kerana kesetiaan yang tidak dihargai.

Tokoh Wartawan Negara ke-9 Datuk A Kadir Jasin mendakwa tidak mustahil juga Rafizi akan tarik diri sebelum pengundian kerana dia tahu akan kalah.

Dakwanya, dengan cara itu bolehlah Rafizi mengharapkan belas kasihan keluarga Perdana Menteri untuk terus diberikan kedudukan.

“Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu ulas Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR. Beliau kata ia isu keluarga. Saya rasa saya terpaksa komen. Kalau pun ada unsur-unsur keluarga, nepotisme dan sebagainya, tetapi unsur kepentingan umum pun ada.

“Ia mungkin percaturan keluarga Anwar tetapi, dengan kehendak takdir, Nurul Izzah boleh berakhir menjadi Perdana Menteri wanita pertama Malaysia. Ditakdirkan dia menang jawatan Timbalan Presiden PKR dan ditakdirkan apa-apa berlaku kepada Anwar, sekarang atau pada masa depan, mesti ada pihak yang akan mencadangkan supaya dia ambil alih tempat bapanya,” kata bekas wartawan itu lagi dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Menurut A Kadir media massa memetik Ketua Penerangan 1 PKR, R Ramanan sebagai berkata, lebih 150 daripada 222 cabang PKR menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah, iaitu melebihi dua pertiga daripada keseluruhan bilangan cabang dan mungkin seperti ramai otai reformasi, Rafizi akan keluar PKR dan menjadi pengkritik tegar Anwar, itu pun kalau dia bersih daripada hal-hal yang boleh diselongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Manakala Nurul Izzah, Puteri Reformasi, pula akan sentiasa disebut sebagai anak Anwar Ibrahim dan dikaitkan dengan nepotisme. Ironinya, nepotisme dan kronisme adalah teriakan perang bapanya sendiri.

“Sama ada dia akan menjadi seorang lagi anak Perdana Menteri yang berjaya naik menjadi Perdana Menteri, seperti Datuk Seri Najib Razak, atau tersekat separuh jalan seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, hanya masa yang akan menentukan.

“Apa-apa pun, kita tidak boleh menangguhkan terlalu lama untuk melakukan peralihan daripada generasi pasca-Perang Dunia Kedua kepada generasi-generasi berikutnya.

“Kepimpinan politik kita semakin tua dan terperangkap dalam politik peribadi yang merosakkan.

“Untuk tujuan itu, mari sama-sama kita namakan sekurang-kurangnya 10 orang yang kita rasa berpotensi menjadi Perdana Menteri dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang,” seru A Kadir.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR kali ini pun, ketoprak sudah dipentaskan. Pada asalnya, Nurul Izzah isytihar dia akan bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden.

“Dalam Majlis Pimpinan Pusat PKR ada sembilan orang berjawatan Naib Presiden dan Nurul Izzah adalah salah seorang daripadanya. Tiba-tiba, satu demi satu kepemimpinan cawangan (bahagian) dan negeri tampil mencadangkan beliau sebagai calon Timbalan Presiden bagi melawan penyandang, Rafizi Ramli.

“Dalam dialog ketoprak itu, Rafizi, yang sehingga kini masih mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang disandangnya, menggesa perwakilan memberi undi kepada Nurul Izzah.

“Sama ada si Rafizi ini sudah hilang plot atau sangat yakin dia akan menang walaupun berkempen untuk Nurul Izzah. Demikianlah luar biasanya politik PKR.

“Tetapi boleh jadi juga Rafizi akan tarik diri sebelum pengundian kerana dia tahu akan kalah. Dengan cara itu bolehlah dia mengharapkan belas kasihan keluarga Perdana Menteri untuk terus diberikan kedudukan. Sikit sebanyak, Rafizi ini ada kekuatan sendiri. Dalam pemilihan parti tahun 2022 dia mengalahkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan menang PRU tahun yang sama. Manakala Nurul Izzah dan Saifuddin kalah PRU 2022.

“Rafizi sudah rasa jadi Menteri. Nurul Izzah belum. Tetapi daripada pandangan mata kasar, Rafizi ini macam orang luar dalam PKR. Malah dalam Kerajaan Malaysia Madani pun dia nampak macam terpulau.

“Pemerhati politik veteran dan kontemporari Anwar ketika beliau di dalam Umno tentu tidak terperanjat dengan “manoeuvre” menaikkan Nurul Izzah. Ia seacuan dengan olah gerak kem Anwar menyingkirkan Almarhum Abdul Ghafar Baba dalam pemilihan Umno tahun 1993,” kata A Kadir.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat