Umno Sabah kerja senyap hasilkan perubahan bukan jeritan kuat hilang dalam angin politik – Bung Moktar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin terpanggil untuk membalas kenyataan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang menyentuh kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu ‘Sabah for Sabahan’.

Tegas Bung Moktar, tuduhan bahawa kenyataan Zahid memecah belah rakyat Sabah dan memesongkan sejarah bukan sahaja tidak berasas, malah berbahaya jika dibiarkan tanpa dijawab secara berhemah.

“Sebagai Ketua Umno Sabah, saya ingin menegaskan bahawa memperjuangkan hak negeri ini bukanlah suatu perlumbaan, tetapi suatu tanggungjawab yang perlu digalas dengan kewarasan sejarah, kesantunan politik, dan keberanian membina, bukan memecah.

“Sejarah telah mengajar kita bahawa tokoh seperti Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun tidak menegakkan hak Sabah dengan meniup api perpecahan.

“Sebaliknya, beliau mengangkat martabat Sabah dengan membina jambatan kepercayaan antara negeri ini dan Persekutuan.

“Inilah semangat yang diwariskan kepada kita semangat yang matang, berpijak di bumi nyata, dan tidak menjadikan slogan sebagai ganti penyelesaian,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu dalam kenyataan pada Rabu.

Hakikatnya tegas beliau, suara Sabah di peringkat Persekutuan kini lebih dihormati.

Bahkan katanya, hak perjawatan, peruntukan pembangunan, dan penglibatan dalam dasar-dasar nasional kini sedang dikembalikan secara berperingkat melalui rundingan dan diplomasi, bukan demonstrasi.

“Inilah pendekatan yang Umno Sabah dukung, kerja senyap yang menghasilkan perubahan, bukan jeritan kuat yang hilang dalam angin politik.

“Ironinya, Dr Jeffrey yang hari ini mendakwa kononnya pejuang MA63, dahulu ketika menjadi pembangkang banyak berjanji namun tiada yang menjadi.

“Retorik MA63 diulang setiap musim pilihan raya, tetapi selepas menang, rakyat hanya disajikan alasan.

“Jika benar perjuangan itu ikhlas, mengapa kampung-kampung yang dipimpin beliau sendiri masih ketinggalan? Mengapa janji-janji lama terus membelenggu rakyat yang kini semakin muak dengan permainan lama yang diulang semula? soal beliau.

Menurut Bung Moktar, “Sabah for Sabahan” boleh menjadi semangat, tetapi bila dijadikan alasan untuk menolak kerjasama Persekutuan, ia berubah menjadi dinding pemisah.

“Kita tidak mahu Sabah terus menjadi mangsa percaturan slogan, sedangkan rakyat masih menagih air bersih, elektrik yang stabil dan peluang pekerjaan yang mampan.

“Rakyat Sabah hari ini semakin bijak. Mereka menilai berdasarkan prestasi, bukan provokasi.

“Mereka mahu pembangunan, bukan perpecahan. Mereka mahu kestabilan, bukan ketegangan yang dihidangkan demi kepentingan peribadi,” bidas Bung Moktar.

Ujar beliau, Umno Sabah akan terus berpijak pada realiti dan berdiri teguh bersama rakyat.

“Kita tidak memilih waktu untuk membela mereka, kita hadir waktu mereka memerlukan, bukan hanya ketika mahu undi,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat