KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dan warga asing lain yang menetap secara haram di Amerika Syarikat digesa mengambil peluang daripada program amnesti negara itu dan pulang ke tanah air dengan membawa pulang USD1,000 (RM4,268).
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika Syarikat baru-baru ini melancarkan satu program untuk penghantaran pulang secara sukarela melalui aplikasi CBP One milik agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP), petik New Straits Times.
Program ini menawarkan bantuan kewangan dan dokumen perjalanan kepada sesiapa sahaja yang menetap secara haram di Amerika Syarikat bagi memudahkan urusan pulang ke negara asal masing-masing.
Dalam satu taklimat bersama wartawan dari rantau Indo-Pasifik hari ini, Penolong Setiausaha Hal Ehwal Awam DHS, Tricia McLaughlin, berkata tawaran tersebut terbuka kepada warganegara mana-mana negara yang menetap secara haram di Amerika Syarikat.
Beliau berkata, di bawah program ini, pendatang tanpa izin akan menerima elaun sebanyak USD1,000 selepas pengesahan atur cara perjalanan untuk keluar dari Amerika Syarikat.
Kerajaan Amerika Syarikat juga akan membantu dalam tempahan tiket dan/atau mendapatkan dokumen perjalanan yang diperlukan sekiranya diminta.
Katanya lagi, mereka yang tidak mengambil peluang daripada program ini, sekiranya ditahan oleh ICE dan dihantar pulang secara paksa, akan kehilangan hak untuk kembali ke Amerika Syarikat.
McLaughlin tidak dapat memberikan perincian statistik mengenai anggaran jumlah pendatang tanpa izin dari negara-negara di Indo-Pasifik yang berada di Amerika Syarikat ketika ini, mahupun jumlah yang kini berada di bawah perintah penghantaran pulang terakhir.
Bagaimanapun pada awal Februari lalu, US Immigration and Customs Enforcement (ICE) menyatakan seramai 435 rakyat Malaysia telah menerima final deportation orders (notis akhir penghantaran pulang) dan kini berada dalam senarai non-detain docket ICE.