KUALA LUMPUR – Siasatan serangan asid ke atas bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan Faisal Halim sudah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Peguam Nik Zarith Nik Moustpha berkata, perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya menerusi satu surat bertarikh 18 Februari 2025 daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kami membuat kenyataan di sini sebagai peguam yang mewakili anak guam kami, Faisal Halim berhubung kes serangan simbahan asid terhadap beliau pada Mei 2024.
“Sepanjang tempoh siasatan kes ini, pihak kami mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kes ini diberikan perhatian yang sewajarnya.
“Ini termasuklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu mereka membuat siasatan menyeluruh berkenaan dengan kes ini,” katanya.
Jelasnya, Faisal Halim kecewa akan perkembangan tersebut, namun faham sambil menegaskan dia bersedia untuk bekerjasama sekiranya terdapat sebarang perkembangan dalam hal tersebut.