Nik Nazmi, Akmal Nasir sah tumbang di cabang PKR, rayuan ditolak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Beberapa nama besar PKR yang mengemukakan rayuan selepas gagal pada pemilihan peringkat Cabang parti baru-baru ini, disahkan tewas berdasarkan keputusan muktamad yang disiarkan PKR di laman web parti itu, hari ini.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa selepas tewas kepada pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar itu memperoleh 563 undi (47.15 peratus) berbanding Afdlin, 631 undi (52.85 peratus).

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir juga disahkan gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru selepas tewas kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail.

Akmal Nasrullah yang juga Pengarah Strategi PKR memperoleh 587 undi (45.12 peratus), manakala Mohamad Taufiq memperoleh 709 undi (54.88 peratus).

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung gagal dalam saingan merebut jawatan Ketua Cabang Petaling Jaya selepas memperoleh 2,684 undi (48.07 peratus), berbanding penyandang jawatan, Hee Loy Sian dengan 2,900 undi (51.93 peratus).

Nasib sama turut dialami Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan, yang disahkan tewas kepada pencabarnya, K Novinthen dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Sungai Siput.

Kesavan memperoleh 357 undi (47.86 peratus), berbanding Novinthen, 389 undi (52.14 peratus), lapor BH pada Isnin.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR menerima sejumlah bantahan dan rayuan daripada ahli yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan di peringkat Cabang, termasuk daripada nama besar parti, seperti Nik Nazmi dan Akmal Nasrullah.

JPP kemudian memutuskan mengadakan pemilihan semula bagi empat Cabang, membabitkan Selayang, Jempol, Silam dan Pasir Salak yang berlangsung pada Khamis lalu.

Pengundian semula pemilihan itu menyaksikan perubahan keputusan bagi tiga jawatan Ketua Cabang, membabitkan Ketua Cabang di Selayang yang dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, selain Manivanan Gowin yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR menang di Jempol dan Hisamuddin Ali di Pasir Salak.

Bagaimanapun, pemilihan semula untuk jawatan Ketua Cabang Silam menyaksikan keputusan ‘status quo’ apabila Romansa Lamin mempertahankan kemenangan.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh dalam satu kenyataan berkata, keputusan muktamad Pemilihan 2025 peringkat cabang itu dipamerkan selepas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat petang semalam, mendengar pembentangan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan laporan Juru Audit Digital Antarabangsa pihak ketiga, dan berpuas hati untuk mengesahkan keputusan itu bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK), Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang.

Beliau turut memaklumkan, Kongres Tahunan PKR bagi 2024 dan 2025 yang akan berlangsung di Johor Bahru pada 22 hingga 24 Mei ini, dijangka menarik perhatian melalui pelaksanaan Sistem Perwakilan yang berpaksikan kepada konsep representasi berkadar mengikut sokongan (Proportionate Representation).

Melalui sistem itu, calon Ketua Cabang yang tewas juga akan layak menghantar perwakilan ke Kongres apabila mereka boleh menamakan senarai perwakilan, yang mana jumlahnya akan mengikut kadar peratus undi yang diterima mereka di pemilihan peringkat cabang tempoh hari.

“Prinsip yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua akan menyemarakkan lagi proses demokrasi di Pemilihan 2025 sewaktu Kongres kali ini,” katanya.

Bagi memastikan pengurusan yang teliti menjelang persiapan Kongres, Fuziah berkata, Jelajah Pra Kongres ke seluruh negara akan digerakkan ibu pejabat supaya perwakilan menerima maklumat tepat dan komprehensif.

“Ibu Pejabat juga akan menyediakan platform khas sewaktu Jelajah Pra Kongres itu untuk semua calon MPP bertemu dengan perwakilan dan memperkenalkan diri masing-masing sebagai calon kelak,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat