KUALA LUMPUR, – Pelakon, pengarah dan aktivis masyarakat, Dato’ Afdlin Shauki Aksan diumumkan sebagai Ketua Cabang PKR Setiawangsa yang baharu selepas memenangi Pemilihan Cabang PKR 2025 dengan majoriti 68 undi.
Afdlin memperoleh 631 undi, menewaskan penyandang jawatan, YB Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, yang meraih 563 undi.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Afdlin menzahirkan rasa syukur dan menyifatkan kemenangan itu sebagai satu amanah besar daripada ahli parti, bukan sekadar kejayaan peribadi. Beliau menegaskan kejayaan tersebut adalah hasil semangat dan iltizam jentera kempen yang bersatu demi memperkukuh Parti Keadilan Rakyat di peringkat akar umbi.
“Kemenangan ini adalah simbol suara ahli yang mahu melihat nafas baharu dalam kepimpinan tempatan, yang mahu politik yang menyentuh hati dan menyelesaikan masalah sebenar,” katanya.
Afdlin turut merakamkan penghargaan kepada Nik Nazmi atas khidmat beliau kepada cabang selama ini, sambil menyeru semua penyokong penyandang untuk kembali bersatu dan memperkasakan cabang demi masa depan parti dan rakyat Setiawangsa.
Tepis dakwaan, tekad bawa perubahan
Mengulas dakwaan yang mengaitkannya dengan isu projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Afdlin menegaskan kemenangan tersebut membuktikan bahawa ahli parti tidak terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan.
“Saya yakin ahli lebih bijak menilai, dan mereka memilih keikhlasan serta rekod khidmat, bukan persepsi murahan,” katanya lagi.
Sebagai tokoh seni dan aktivis sosial, Afdlin berkata beliau akan terus menggunakan pengalamannya dalam bidang kemasyarakatan, pendidikan seni dan pengurusan yayasan untuk membina sebuah cabang yang inklusif dan mesra rakyat, berteraskan gagasan “Mesra Setiawangsa”.
“Ini bukan akhir perjuangan. Ini permulaan kepada sebuah kebangkitan. Kita akan terus bergerak, bekerja dan menyatu hati,” katanya menutup kenyataan itu.
Afdlin sebelum ini dikenali sebagai antara aktivis seni yang lantang menyuarakan isu-isu rakyat, dan aktif dalam pelbagai inisiatif sosial sebelum menyertai politik secara aktif.