KUALA LUMPUR – Sabah belum sampai ke tahap untuk mengeluarkan sebarang lesen melombong khususnya emas dan sehingga ini hanya lesen mencari gali untuk kerja eksplorasi dikeluarkan.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor ketika menggulung perbahasan pada persidangan DUN Sabah semalam berkata lesen mencari gali atau ‘prospecting licence’ (PL) adalah kebenaran untuk syarikat melakukan kerja eksplorasi di kawasan ditetapkan, lapor Berita Harian.
Beliau menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) mengenai tanah kira-kira 400 hektar di Nagos, Semporna yang didakwa diberi kepada pihak tertentu untuk aktiviti eksplorasi mineral.
Hajiji berkata lesen mencari gali bukan pajakan melombong yang membenarkan pemegang lesen melakukan pengeluaran mineral.
Bagi pajakan melombong, katanya segala kepentingan kerajaan seperti ekuiti, royalti, fi pajakan melombong dan lain-lain akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri negeri.
“Kita belum sampai ke tahap itu, kita belum pun mengeluarkan lesen melombong,” katanya.
Hajiji berkata kerja eksplorasi di Nagos itu dibuat kerana aktiviti penerokaan mineral rumit dari segi teknikal seperti geologi kawasan, jenis mineral, infrastruktur serta memerlukan modal tinggi dan risiko juga tinggi.
Katanya, ia memerlukan pelaburan awal yang besar tanpa sebarang jaminan pulangan dan langkah menyerahkan kerja eksplorasi kepada syarikat swasta melindungi kerajaan negeri daripada liabiliti dan risiko kewangan.
“Ia kerana semua kos penerokaan akan ditanggung sepenuhnya syarikat swasta yang memegang lesen mencari gali terbabit.
“Dengan memindahkan risiko kepada entiti swasta, kerajaan negeri dibebaskan daripada keperluan untuk melabur modal, mengurus operasi, atau menjalankan pemasaran dan jualan,” katanya.
Mengulas sama ada syarikat menjalankan cari gali akan diberi lesen melombong, Hajiji berkata kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memberi peluang kepada syarikat terbabit.