Rauf nafi terlibat dalam penahanan bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara

- Advertisement -

MELAKA, – Pejabat Ketua Menteri Melaka hari ini menafikan sekeras-kerasnya sebarang kaitan antara YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dengan penahanan bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Dato’ Sri Dr. Haji Mohamad Ali Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan media, pentadbiran negeri menjelaskan bahawa Ketua Menteri tidak mempunyai sebarang penglibatan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, dalam isu yang sedang disiasat oleh pihak SPRM.

“Sebarang dakwaan yang mengaitkan YAB Ketua Menteri dengan penahanan tersebut adalah tidak berasas, bersifat spekulatif dan boleh mengelirukan rakyat,” menurut kenyataan tersebut.

Pentadbiran negeri turut menyatakan bahawa tuduhan tidak berasas sedemikian hanya mencemarkan reputasi kepimpinan negeri dan dilihat sebagai cubaan untuk mengganggu fokus pentadbiran dalam melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat.

Kenyataan itu turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Melaka terhadap prinsip kebebasan institusi penguatkuasaan, serta memberikan sepenuh kepercayaan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Dalam pada itu, pentadbiran negeri turut menggesa semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan dan menyebarkan maklumat. Penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial, menurut kenyataan itu, merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang dan boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

Kerajaan Negeri Melaka juga menegaskan bahawa pihaknya akan terus menumpukan usaha memperkukuh tadbir urus berteraskan integriti, kecekapan dan ketelusan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat