KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memanggil pihak Sin Chew Daily hari ini bagi tujuan siasatan dan surat tunjuk sebab juga telah diserahkan.
KDN dalam kenyataan media berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, KDN tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara.
“KDN memandang serius dan amat kesal dengan perbuatan akhbar Sin Chew Daily yang telah menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk yang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar bertarikh 15 April 2025.
“KDN sudah pun memulakan tindakan siasatan serta merta dengan berpandu kepada dua perundangan yang berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301],” katanya.
Tegas kementerian itu lagi, perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
“Selain itu, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.
“Jalur Gemilang bukan sekadar simbol; ia adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara ini yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak.
“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414], boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuatkuasa,” ujarnya.
KDN menegaskan pihaknya, tidak sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua Akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan,” kata kementerian itu lagi.