KUALA LUMPUR – Walaupun permohonan maaf sudah dibuat, ia tidak memadai kerana insiden sebegini tidak boleh dipandang ringan dan ditutup dengan sekadar permohonan maaf.
Susulan itu, Armada Bersatu mendesak pihak berkuasa menyiasat segera insiden ini dengan menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan akta-akta lain yang berkaitan dan seterusnya mendakwa mana-mana pihak yang telah didapati tidak menghormati simbol kebangsaan negara.
Exco Armada Bersatu Na’im Brundage berkata pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Sin Chew Daily yang telah memaparkan ilustrasi grafik Jalur Gemilang yang diubah suai tanpa lambang bulan sabit di muka hadapan akhbarnya baru-baru ini.
“Tindakan tersebut merupakan satu penghinaan terhadap Islam, memandangkan bulan sabit dalam Jalur Gemilang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
“Insiden kecuaian melampau ini sepatutnya tidak berlaku kerana Sin Chew bukanlah media baru tetapi adalah antara akhbar harian berbahasa Cina tertua di negara ini,” bidas beliau.
Na’im yang juga Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu sayap Bersatu itu berkata, Armada kesal bagaimana sebuah akhbar yang dibarisi editor kanan dan editor berpengalaman luas secara cuai boleh terlepas pandang dan menyiarkan ilustrasi salah panji dan obor kebanggaan negara.
“Berita, tajuk berita, gambar dan ilustrasi muka depan akhbar biasanya melalui proses suntingan, saringan dan pemeriksaan yang ketat oleh beberapa editor kanan sebelum dicetak,” ujar beliau.