WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, berkata kini terpulang kepada China, bukan AS untuk memulakan rundingan semula mengenai isu tarif perdagangan.
Beliau berkata demikian selepas menuduh negara itu mungkir janji terhadap perjanjian besar tempahan dengan syarikat penerbangan Boeing, lapor AFP.
Setiausaha Akhbar Trump Karoline Leavitt, yang membacakan kenyataan beliau dalam satu taklimat, berkata China yang perlu membuat perjanjian dengan AS dan bukan sebaliknya.
“China sama sahaja seperti negara lain, cuma ia lebih besar,” katanya merujuk kepada laporan Bloomberg mendedahkan China memungkiri perjanjian dengan Boeing.
“Kerajaan China sudah mengarahkan syarikat penerbangan di negara itu supaya menghentikan penerimaan pesawat baharu daripada Boeing dan menangguhkan pembelian alat ganti dari syarikat AS.
“Mereka baru sahaja batalkan perjanjian besar dengan Boeing dan kini memaklumkan tidak mahu menerima pesawat yang mereka berjanji untuk beli,” kata Trump menerusi laman Truth Social.
Trump bagaimanapun tidak menjelaskan perjanjian mana yang dimaksudkan.
Sejak mengambil alih jawatan Presiden tahun ini, Trump mengenakan tarif baru terhadap banyak negara, termasuk sekutunya.
Namun, tindakan paling ketara dikenakan terhadap China, dengan tarif tambahan sebanyak 145 peratus ke atas kebanyakan barangan import dari negara itu.
Ketua Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pula menyifatkan hubungan antara AS dan Kesatuan Eropah (EU) semakin rumit selepas negara itu mengenakan tarif 10 peratus terhadap produk dari Eropah.
Dalam perkembangan berasingan, Kanada menawarkan pengurangan tarif kepada syarikat automotif yang mengekalkan pengeluaran di negara itu kerana bimbang syarikat berpindah ke AS akibat dasar Trump.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan rundingan, von der Leyen berkata Eropah sudah menyatakan pendirian mereka dengan jelas dan pihak AS juga melakukan perkara yang sama.
Trump turut mengulangi kritikan terhadap Beijing, menyatakan bahawa China gagal menunaikan komitmen dalam perjanjian perdagangan terdahulu.
Ini dipercayai merujuk kepada perjanjian yang sebelum ini menamatkan perang tarif antara kedua-dua negara semasa penggal pertama pentadbirannya.
Menurut Trump, China hanya membeli ‘sebahagian kecil daripada apa yang dijanjikan’ dan mendakwa bahawa Beijing langsung ‘tidak menghormati’ pentadbiran bekas Presiden AS, Joe Biden, sebelum ini.
Sejak awal tahun ini, pentadbiran Trump mengenakan duti import tinggi terhadap barangan dari China, di samping tarif asas 10 peratus ke atas kebanyakan rakan dagang AS.
Namun, beberapa pengecualian diperluas, membabitkan barangan teknologi seperti telefon pintar dan komputer riba yang tidak dikenakan tarif 10 peratus global serta dikecualikan daripada tambahan 125 peratus untuk produk dari China.
Trump juga berikrar untuk melindungi golongan petani AS, dengan menyatakan mereka sering menjadi ‘barisan hadapan’ ketika berlaku pertikaian perdagangan dengan negara seperti China.
Buat masa ini, kebanyakan import dari China masih berdepan tarif tambahan keseluruhan sebanyak 145 peratus atau sekurang-kurangnya duti awal 20 peratus yang dikenakan berhubung dakwaan peranan negara itu dalam rantaian bekalan fentanyl.
Sebagai tindak balas, Beijing mengenakan tarif balas terhadap produk pertanian AS dan kemudian memperkenalkan duti import setinggi 125 peratus ke atas produk dari AS.
Kementerian Luar China belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu penghantaran pesawat Boeing, manakala syarikat terbabit juga enggan mengulas laporan Bloomberg.