Kangar – Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan bahawa individu yang memandu di bawah pengaruh bahan memabukkan atau mengkhayalkan sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan kepada orang lain perlu dikenakan hukuman paling berat.
Beliau berkata, tanpa tindakan tegas, kumpulan-kumpulan seperti sindiket dadah dan peminum bahan haram termasuk ‘todi’ dan arak akan terus menjadikan ketagihan itu sebagai alasan untuk bertindak cuai dan membahayakan nyawa orang awam.
“Pemandu di bawah pengaruh bahan yang memabukkan atau menghayalkan sehingga membunuh atau mencederakan orang lain hendaklah dikenakan hukuman yang paling berat.”
“Jika tidak, geng dadah dan puak peminum ‘todi’ dan arak akan menjadikan bahan-bahan haram itu sebagai kelonggaran untuk mereka meragut nyawa atau mencederakan orang lain.”
“Sejak dahulu isu ini telah ditimbulkan, kita berharap Kerajaan Madani yang selalu membicarakan tentang peradaban dan ketamadunan dapat berbuat sesuatu yang tepat dalam perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun kenyataan tersebut tidak merujuk kepada mana-mana kes secara khusus, ia dipercayai ada kaitan dengan insiden kemalangan maut di Jalan Johor Bahru–Kota Tinggi, Johor, semalam, yang melibatkan sebuah kereta mewah melanggar seorang lelaki yang sedang membantu penunggang motosikal terbabas.
Menurut laporan pihak polis, siasatan awal mendapati pemandu BMW tersebut memandu di bawah pengaruh alkohol, dan hanya mengalami kecederaan ringan, manakala mangsa yang membantu maut di tempat kejadian.
Kenyataan Mufti Perlis itu turut mencerminkan kebimbangan masyarakat terhadap pemanduan berbahaya akibat pengaruh bahan terlarang, dan menyeru kerajaan untuk mengambil tindakan tegas selari dengan prinsip peradaban dan ketamadunan yang sering diketengahkan dalam pentadbiran semasa.