KUALA LUMPUR – Polis akan merakam percakapan Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahad berhubung dakwaan melakukan ugutan jenayah dengan menunjukkan pistol kepada beberapa individu minggu ini.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata, polis sudah memanggil Arafat untuk dirakam percakapan berhubung dakwaan itu, namun setakat ini wakil rakyat berkenaan belum tampil berbuat demikian.
Beliau berkata, polis memahami kemungkinan Arafat sedang sibuk termasuk dengan urusan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hingga menyebabkan beliau belum sempat hadir.
“Kita sudah memanggil YB (Yang Berhormat) itu, namun beliau masih belum datang ke balai untuk dirakam percakapan. Kita juga memahami beliau agak sibuk dengan kempen di Ayer Kuning.
“Kami tak berikan kepadanya tempoh masa untuk datang tetapi berharap dia boleh tampil dalam dalam minggu ini juga untuk kita meredakan atau menyelesaikan siasatan ini.
“Sebab kita tidak mahu perkara ini jadi isu dalam kempen ini,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Tapah dan KPD Sungai Siput di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, lapor BH di Ipoh pada Isnin.
Serah terima tugas itu antara Superintendan Johari Yahya yang dilantik KPD Tapah daripada pemangku jawatan itu sebelum ini, Deputi Superintendan Mohd Fadzil Ismail; serta Superintendan A W Charan yang dilantik KPD Sungai Siput yang baharu daripada pemangku jawatan itu sebelumnya iaitu Deputi Superintendan Mohd Rohai Zimi Razali.
Noor Hisam berkata, semua individu yang terdapat dalam video tular mendakwa wakil rakyat itu menunjukkan pistol, turut dipanggil dirakam percakapan sebagai saksi.
“Mereka semua dipanggil sebagai saksi. Daripada rakaman percakapan lapan saksi yang sudah dipanggil, kita akan dapat lagi (saksi lain), namun setakat ini seramai lapan saksi yang dipanggil,” katanya.
Semalam, Noor Hisam mengesahkan lapan saksi dipanggil bagi membantu siasatan berhubung video tular mendakwa seorang calon pada pemilihan sebuah parti politik di Tambun, melakukan ugutan jenayah dengan menunjukkan pistol.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Arafat menerusi kenyataan media menafikan dakwaan itu dengan menyifatkan setiap kali tempoh pemilihan parti, akan ada pihak memfitnahnya untuk kepentingan politik calon yang menentang beliau dalam pemilihan.