Kota Kinabalu, 13 April – Kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) berkemungkinan besar gagal, menurut penganalisis politik Sabah, Musli Oli.
Musli, dalam satu tulisan terbaharu, menjangkakan akan berlaku pertembungan antara parti-parti tempatan dan nasional sekiranya isu pengagihan kerusi gagal diselesaikan.
Menurutnya, sumber dalaman GRS turut mendedahkan bahawa gabungan itu berkeras untuk bertanding sekurang-kurangnya 43 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki 30 kerusi dijangka diagihkan kepada PH dan BN – masing-masing 20 dan 10 kerusi.
“Jika ini berlaku, PH-BN mungkin akan membentuk pakatan dengan satu atau dua parti lokal lain seperti KDM dan PBRS, sekali gus menyaksikan pertembungan terbuka antara GRS dan ruling party di peringkat Persekutuan,” ujar Musli.
Beliau juga mengulas mengenai sentimen pengundi Sabah yang dikatakan semakin cenderung kepada parti-parti lokal, namun menegaskan bahawa kecenderungan itu masih belum disokong oleh kajian saintifik yang kukuh.
“Sokongan terhadap parti tempatan di Sarawak, misalnya, bukan kerana bentuk partinya tetapi kerana karisma dan kepimpinan yang konsisten serta tidak mudah melompat parti,” tambah beliau.
Menurut Musli, sejarah politik Sabah turut menyaksikan dominasi parti tempatan seperti UPKO, USNO, BERJAYA, PBS dan Warisan selama lebih tiga dekad.
Namun, beliau mengingatkan bahawa perbezaan utama dengan Sarawak ialah parti-parti tempatan di Sabah pernah menentang kerajaan Persekutuan secara terbuka seperti PBS pada era 1990-an – tindakan yang menurutnya menyebabkan Sabah tercicir dari arus pembangunan.
“PBS pernah menggunakan slogan ‘Sabah for Sabahan’ dan mengambil pendekatan konfrontasi dengan Kuala Lumpur. Akibatnya, Sabah yang dahulunya antara negeri terkaya kini kekal dalam kelompok negeri termiskin,” tulis Musli.
Tambah beliau, untuk mencapai kestabilan dan pembangunan berterusan, parti-parti tempatan di Sabah perlu mencontohi pendekatan politik matang seperti yang diamalkan oleh PBB di Sarawak yang menjaga hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan.
Dengan PRN17 semakin hampir, landskap politik Sabah dijangka terus bergolak dengan kemungkinan kerjasama rapuh antara gabungan besar dan dominasi semangat parti lokal yang terus membara di kalangan pemimpin dan penyokong tempatan.