PM janji akan semak semula akta lantik hakim jamin proses mahkamah tanpa campur tangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan komitmen reformasi Kerajaan Madani untuk meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK).

Ujarnya, ia selaras dengan semangat pembaharuan institusi.

Kata Anwar ini bagi memastikan proses pelantikan kehakiman benar-benar mencerminkan prinsip ketelusan serta kebebasan badan kehakiman tanpa menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan keistimewaan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan MADANI mengambil maklum akan tindakan undang-undang yang difailkan di Mahkamah Tinggi berhubung permohonan semakan ke atas kesahan Perlembagaan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK).

“Kerajaan ini menghormati sepenuhnya hak mana-mana individu untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan melalui saluran serta jalur kehakiman. Ini adalah antara tonggak penting dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang berpaksikan kedaulatan undang-undang. Seperti dalam mana-mana proses mahkamah, Kerajaan memberi jaminan ia berjalan tanpa campur tangan atau prejudis sama sekali.

“Pada masa sama, saya menyedari bahawa struktur dan keanggotaan SPK serta peranannya dalam proses pelantikan kehakiman telah dipersoalkan sejak sekian lama dalam kalangan pelbagai pihak termasuk badan kehakiman, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO).

“Persoalan ini bukan sesuatu yang boleh diketepikan dan ia menuntut penelitian serius dari sudut dan lensa undang-undang, institusi dan Perlembagaan,” tegas Perdana Menteri.

Sehubungan itu Anwar berkata, sementara kerajaan akan mempertahankan kesahan Akta SPK di mahkamah.

“Kajian semula ini akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO), dengan matlamat memperbaiki sebarang kelompongan dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara.

“Sebarang reformasi yang dibawa kelak akan menyemangati prinsip Perlembagaan, yakni memelihara doktrin pengasingan kuasa, menjunjung sistem Raja Berperlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang. Hanya dengan asas yang kukuh ini, kita dapat memastikan kestabilan jangka panjang dan sistem demokrasi negara kekal terjamin.

“Justeru, Kerajaan Madani kekal berpegang kepada prinsip tadbir urus yang berintegriti dan akan terus bertindak dengan telus, bertanggungjawab dan menghormati kesemua institusi Perlembagaan dalam menguruskan isu sepenting ini,” kata Anwar.

Kelmarin, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mencadangkan penghapusan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.

Menurut beliau, sejak kebelakangan ini terdapat cadangan supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengeluarkan peranan perdana menteri dalam proses pelantikan hakim.

“Perubahan sebegini, pada pandangan saya, akan mengukuhkan lagi ketelusan dan keadilan dalam proses pemilihan serta memastikan pelantikan hakim benar-benar berasaskan merit dan bebas daripada sebarang persepsi pengaruh politik,” katanya dalam ucapan di Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat