KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kabinet hari ini membincangkan protokol keperluan fitosanitari bagi pengeksportan kelapa segar dari Malaysia ke Republik Rakyat China.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu perbincangan ini merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuhkan hubungan perdagangan agrikultur antara Malaysia dan China.
“Usaha ini juga membuka ruang pasaran yang lebih luas kepada para pekebun dan pengusaha industri kelapa tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa, khususnya ke Republik Rakyat China.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan terus komited dalam meneroka pasaran baharu serta mempertingkatkan daya saing produk pertanian negara di peringkat global,” katanya.
Ujar beliau lagi mesyuarat Jemaah Menteri itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mac lalu media melaporkan, kenaikan harga kelapa import dari Indonesia susulan kekurangan bekalan tempatan antara faktor lonjakan harga produk berasaskan kelapa terutama santan sejak November lalu.
Kata Mat Sabu lagi faktor lain adalah peningkatan eksport kelapa Indonesia ke China.
“Indonesia tidak mengurangkan jualan kelapa kepada Malaysia cuma mereka naikkan harga. Itu hak mereka, kerana kita tahu pasaran kelapa bergantung kepada permintaan dan penawaran
“Kesannya, harga kelapa tempatan turut meningkat kerana permintaan lebih tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, Mat Sabu berkata trend petani tempatan lebih cenderung menjual kelapa muda berbanding tua turut menyumbang kepada bekalan tidak mencukupi untuk pemprosesan santan.
Katanya, kebanyakan penanam kelapa dalam negara memilih untuk menjual kelapa muda kerana harga lebih tinggi dan tempoh tuaian singkat.