KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan menyokong kunjungan Adun Semenyih dari Pas Nushi Mahfodz menyantuni rakyat dalam lawatan ke kuil Arulmigu Dewi Sri Karumariamman Alayam di Kajang baru-baru ini.
Syahredzan yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP menegaskan, apa yang dilakukan oleh Adun Semenyih Nushi Mahfodz sememangnya sebahagian daripada tanggungjawab seorang wakil rakyat.
“Kehadiran seorang wakil rakyat Muslim ke rumah ibadat bukan Muslim seperti kuil, tokong dan gereja sudah tentu bukan untuk mengikuti ritual keagaman, tetapi untuk menyantuni rakyat di kawasan tersebut yang telah menjemput wakil rakyat mereka.
“Wakil rakyat harus mewakili semua kaum dan agama, bukan hanya komunitinya sahaja.
“Saya berharap episod ini menoktahkan polemik yang sering dimainkan khususnya oleh penyokong parti politik belah sana tentang lawatan ke rumah ibadat bukan Muslim,” kata Syahredzan lagi.
Beliau juga memaklumkan, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyantuni rakyat di rumah ibadat bukan Muslim sebelum ini telah dikecam dan dicerca oleh sesetengah penyokong parti politik pembangkang, termasuklah Perdana Menteri sendiri.
“Malah, saya sendiri juga pernah mengalaminya.
“Jangan pula bila pemimpin belah lawan buat, jadi salah, tetapi bila pemimpin anda buat, boleh pula.
“Mari sama-sama kita berpolitik dengan matang,” seru Syahredzan.
Sebelum itu, Adun Semenyih menegaskan bahawa kunjungan beliau ke kuil Arulmigu Dewi Sri Karumariamman Alayam baru-baru ini bukan untuk menyertai ritual keagamaan.
Sebaliknya beliau berkata, lawatan itu bertujuan menyantuni masyarakat beragama Hindu yang juga sebahagian daripada warga Semenyih.
Menurutnya, selendang kuning cair (ponnadai) dan kalungan bunga yang dipakaikan merupakan simbol sambutan serta persahabatan dalam budaya masyarakat India, khususnya komuniti Tamil.
“Ini bukan sebahagian daripada sebarang ritual dan saya langsung tidak terlibat dalam apa-apa bentuk ibadah atau simbol keagamaan.
“Contohnya seperti postur menyembah (namaskaram), pemakaian tanda di dahi, menuang susu ke dalam periuk tanah atau penyertaan dalam upacara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, tular di media sosial yang memaparkan Nushi berkunjung ke salah sebuah kuil dengan memakai kalung bunga dan ponnadai.
Tindakan itu telah mendapat kecaman beberapa pihak yang mendakwa Nushi terlibat dengan upacara keagamaan selain meminta pemimpin politik Islam berhenti menjadikan kebiasaan menghadiri ritual terbabit.
Mengulas lanjut, Nushi berkata, sebahagian besar masa lawatan berkenaan hanya dihabiskan untuk berdialog dan mendengar harapan mereka serta perancangan pihak kuil untuk komuniti setempat.
“Ia ruang yang amat penting untuk membina kefahaman dua hala, jauh daripada prejudis atau tanggapan luar.
“Saya percaya, masyarakat majmuk seperti kita hanya akan kuat bila ada ruang untuk saling mengenal, faham dan menghormati.
“Apabila wakil rakyat dekat dengan rakyat tanpa mengira kaum atau agama, ini bibit kepada negara yang benar-benar bersatu.
“Semoga langkah kecil ini menyumbang kepada Semenyih yang harmoni dan saling percaya,” ujarnya.