KUALA LUMPUR- Polis masih menunggu laporan penuh perubatan daripada Hospital Sultan Idris Shah, Serdang berhubung kecederaan dialami peniaga belon yang terbabit insiden pergelutan dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di ibu kota, pada 28 Mac lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, buat masa ini pihak polis hanya menerima laporan awal perubatan pihak hospital yang mengesahkan peniaga terbabit mengalami ‘keretakan tulang’.
“Setakat ini kecederaan yang sudah disahkan (oleh pihak hospital) adalah keretakan (tulang) serta kecederaan tisu lembut kesan daripada pergelutan.
“Buat masa ini kita belum dapat laporan penuh pihak hospital, laporan perubatan belum siap, tetapi ada keretakan (tulang). Laporan penuh perubatan akan dijangka diterima dalam tempoh 30 hari,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur lapor BH pada Isnin.
Semalam, pegawai perubatan swasta, Dr Hafidz Rizal, memaklumkan bahawa peniaga belon terbabit, Muhamad Za’imuddin Azlan, berisiko lumpuh ekoran kecederaan yang dihadapi pada tulang belakang.
Beliau berkata Zaimudin yang dimasukkan ke hospital dari 2 Mac sehingga 4 April lalu didiagnos mengalami ‘compression fracture T12’ (saraf tulang belakang toraks).
Katanya, perkara itu didedahkan menerusi nota discaj dan sijil cuti sakit selama 48 hari yang dikeluarkan oleh bahagian ortopedik Hospital Sultan Idris Hospital, Serdang.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media berkait insiden itu bersama Za’imuddin dan peguam mewakilinya, Muhammad Rafique Rashid Ali, di sini, selepas membuat satu laporan polis berhubung insden itu semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Rusdi mengesahkan empat laporan polis diterima berhubung kes itu setakat ini dengan laporan polis terbaharu diterima daripada mangsa sendiri yang dibuat pada jam 11.50 pagi semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Semakan mendapati laporan polis yang dibuat oleh peniaga belon terbabit mempunyai maklumat kejadian yang konsisten seperti keterangannya yang kita rekod sebelum ini susulan laporan polis dibuat oleh ibunya pada 29 Mac lalu.
“Laporan polis oleh lelaki itu diklasifikasikan sebagai ‘refer to other report’ (dirujuk kepada laporan terdahulu) yang dibuat oleh ibu mangsa. Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan cedera,” katanya.
Katanya, setakat ini lebih 11 individu sudahpun dirakam keterangan termasuk sembilan pegawai DBKL serta dua orang awam termasuk pembekal belon.
Dalam pada itu, katanya tiga kertas siasatan dibuka berkait kes ini, masing-masing mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas), Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian) serta Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Tambah Rusdi, siasatan oleh pihak polis sudah selesai dengan kertas siasatan lengkap sudah pun diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada 2 dan 4 April lalu.
“Kita sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak DPP untuk tindakan lanjut,” katanya.
Pada 4 April, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam satu sidang media, dilaporkan berkata polis membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 186, Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Katanya dua daripada kertas siasatan sudah serahkan kepada DPP manakala satu lagi kertas siasatan kita sedang menunggu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana ia berkaitan laman web.
Mengulas perkara itu, Rusdi berkata siasatan berkait Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masih diteruskan dengan pelakunya sudah dikenal pasti.