Oleh Zihan Zari
KAJANG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap sedia untuk digerakkan bila-bila masa bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana gempa bumi melanda di bahagian tengah Myanmar pada Jumaat lalu.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata APM bersedia sepenuhnya untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Myanmar yang terjejas akibat bencana ini.
“Pasukan kami telah dilengkapi dengan peralatan khas bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta menyalurkan bantuan kecemasan dengan pantas dan berkesan, ”katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, APM kini dalam mod siap sedia untuk menggerakkan pasukan khas bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa yang terjejas.
“Pasukan ini terdiri daripada anggota terlatih yang berpengalaman dalam pengurusan bencana, termasuk pegawai perubatan, penyelamat, serta pakar logistik bagi memastikan operasi dijalankan dengan cekap dan berkesan.
”Pada masa ini, APM masih menunggu arahan rasmi daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan ke lokasi bencana pada bila-bila masa sekiranya diperlukan, ”katanya lagi.
“Malaysia kekal komited terhadap kerjasama serantau dan terus memainkan peranan utama dalam bantuan kemanusiaan serta pengurusan bencana ASEAN.
“Selaras dengan piawaian Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG), setiap misi mematuhi standard antarabangsa, memastikan pasukan penyelamat dilengkapi kepakaran teknikal, peralatan canggih, dan prosedur operasi sistematik,”ujarnya.
“Komitmen ini meneguhkan peranan Malaysia sebagai rakan strategik dalam operasi menyelamat dan bantuan kemanusiaan, memperkukuh daya tahan rantau ASEAN dalam menghadapi bencana alam. ”ujarnya lagi.
Aminurrahim turut meninjau persiapan pegawai dan anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA), termasuk penyediaan peralatan bagi misi ke Myanmar.
Dalam pada itu, APM turut dilengkapi aset canggih seperti Leader Sentry untuk mengesan kestabilan struktur bangunan, Leader Hasty yang menggunakan teknologi tanpa wayar bagi mengesan mangsa tertimbus.
Selain itu, Lighting Drone, yang berfungsi sebagai pencahayaan kecemasan dan pemantauan video dalam operasi malam.
Menurut Kapten (PA) Rageshwaran A/L Maniam, peralatan ini direka khas untuk meningkatkan keberkesanan dalam operasi menyelamat.
Terdahulu media melaporkan gempa bumi kuat berskala 7.4 magnitud itu telah mengakibatkan kemusnahan teruk di beberapa kawasan, menyebabkan kehilangan nyawa dan menjejaskan jutaan penduduk Myanmar.-SUARA.TV