KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan sebuah kuil Hindu yang mencetuskan kontroversi di Jalan Masjid India susulan rancangan penempatan semula dilaporkan bersetuju untuk berpindah ke lokasi berhampiran.
Setiausaha jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman Kaarthik Gunaseelan berkata, persetujuan itu dicapai semalam hasil perbincangan dan rundingan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), lapor Malaysiakini.
“Kami berterima kasih kepada menteri, wakil rakyat dan pihak berkuasa lain yang membantu mencapai resolusi ini.
“Tapak baru itu berdekatan dan dalam kawasan Jalan Masjid India, serta sesuai sebagai tapak alternatif,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Rancangan pemindahan kuil untuk memberi laluan kepada masjid itu mencetuskan reaksi orang ramai, termasuk daripada peguam.
Ketua Bahagian Undang-undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd, Aiman Dazuki, berkata syarikat itu membeli tanah berkenaan pada 2012 dan mendapat kebenaran pada 2021 untuk mula membina masjid di situ.
Beliau berkata, ia menangguhkan proses itu ‘untuk menghormati’ pemindahan kuil.
Katanya, mustahil untuk membina masjid tanpa menempatkan semula kuil itu kerana tanahnya tidak cukup luas untuk menempatkan kedua-duanya.
Menurutnya, syarikat terbabit telah bersetuju untuk membayar kos pemindahan kuil itu.
Semalam, peguam Ambiga Sreenevasan dan N Surendran menggesa kerajaan mendedahkan perjanjian jual beli bagi plot tanah itu.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan hadir merasmikan majlis pecah tanah Masjid Madani di Jalan Masjid India, tapak yang mencetuskan kontroversi itu.
“Saya akan meletakkan batu asas pada 27 Mac,” katanya pada sambutan Hari Polis di Kuala Lumpur.