Apple dilaporkan semakin hampir untuk melancarkan iPhone boleh lipat pertama mereka, dengan beberapa penganalisis bersetuju mengenai spesifikasi utama peranti itu.
Menurut penganalisis terkenal Ming-Chi Kuo dan Jeff Pu, serta akaun Weibo Digital Chat Station, iPhone boleh lipat ini akan hadir dengan skrin dalaman berukuran 7.8 inci apabila dibuka sepenuhnya dan skrin luaran 5.5 inci. Maklumat ini mencadangkan bahawa Apple mungkin telah memuktamadkan beberapa spesifikasi utama peranti.
Kuo turut mendedahkan bahawa iPhone boleh lipat ini akan mempunyai reka bentuk lipatan seperti buku, berbeza dengan reka bentuk clamshell seperti Samsung Galaxy Z Flip.
Pu pula menyatakan bahawa peranti ini baru sahaja memasuki fasa New Product Introduction (NPI) di kilang Foxconn, menandakan Apple sedang bergerak ke arah pengeluaran. Beliau bersama Kuo menjangkakan iPhone boleh lipat ini akan memasuki pengeluaran besar-besaran seawal suku keempat tahun 2026, bermakna ia mungkin akan dilancarkan dalam kuantiti terhad pada 2027.
Seperti yang dilaporkan, iPhone boleh lipat ini dijangka menjadi peranti Apple paling mahal, dengan analisis oleh Tim Long dari Barclays menganggarkan harga jualan bermula sekitar $2,299 (kira-kira RM11,000), hampir dua kali ganda harga iPhone 16 Pro Max yang bermula pada $1,199.
Selain saiz skrin, Kuo juga mendedahkan beberapa ciri utama iPhone boleh lipat ini:
✅ Dua kamera belakang dan satu kamera hadapan
✅ Butang kuasa dengan Touch ID (tiada Face ID)
✅ Bateri berkapasiti tinggi
✅ Ketebalan 4.5mm apabila dibuka, dan 9mm hingga 9.5mm apabila dilipat
✅ Badan diperbuat daripada titanium, dengan engsel gabungan titanium dan keluli tahan karat