Kor Ming akan anjur lawatan ke flat usang dan daif bersama wakil rakyat dan senator, perjelas RUU PSB

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan ekspedisi lawatan kerja ke flat usang dan daif bersama ahli Parlimen dan ahli Dewan Negara.

Ini bagi memberi kefahaman kepada mereka berhubung kepentingan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Menteri KPKT Nga Kor Ming berkata, melalui ekspedisi pada 29 April ini, jemputan sudah diberikan kepada semua ahli Parlimen dan Dewan Negara khususnya pembangkang bagi melihat sendiri situasi di lapangan berhubung keadaan perumahan yang memerlukan pembaharuan itu.

“Saya sendiri akan menaiki bas bersama mereka dari Parlimen untuk melawat ke empat tempat iaitu dua tapak yang sangat teruk dan dua tapak yang berjaya.

“Ia adalah bagi mereka menyaksikan dengan mata sendiri betapa pentingnya Akta PSB digubal bagi bantu rakyat,” katanya pada majlis Sembang Kopi Bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, lapor BH.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan antara prinsip utama dalam RUU PSB ialah projek pembaharuan kediaman mesti dijalankan menerusi perundingan dengan pemilik.

Dalam masa yang sama, pelaksanaan RUU PSB akan memastikan rumah yang diperbaharui diberikan kepada pemilik asal supaya mereka dapat kembali menghuni di atas tapak asal yang telah dibangunkan.

Pada masa sama, Kor Ming berkata, sebanyak 534 kawasan di seluruh negara yang dilihat memerlukan pembangunan semula, termasuk 139 di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, langkah pembangunan semula ini bukan saja membantu pemilik mendapat kediaman lebih baik namun juga nilai hartanah turut meningkat.

“Contohnya Desa Mahsuri di Pulau Pinang dan Razak Mansion di Bangsar…sebelum pembaharuan nilai hartanahnya ialah RM70,000 dengan keluasan 421 kaki persegi (39.11 meter persegi).

“Namun, ia meningkat lima kali ganda kepada RM418,000 dengan saiz rumah 820 kaki persegi (76.1 meter persegi) selepas pembaharuan semula,” katanya.

Beliau berkata, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) juga sudah menyatakan persetujuan akan melabur RM700 juta bagi pembangunan semula bandar terhadap tujuh lokasi kebanggaan negara termasuk Bangunan Sutan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.

Katanya, pembangunan semula itu juga termaktub dalam Akta PSB yang tidak sepatutnya dibantah.

Dalam perkembangan sama, Kor Ming turut mempertikaikan tindakan pembangkang yang membantah Akta PSB kerana ia bukan produk baharu, bahkan sudah dipersetujui ketika pentadbiran pembangkang sebelum ini.

“Dulu Perikatan Nasional (PN) jadi kerajaan, mereka yang sokong, garis panduan pembaharuan semula bandar sudah wujud 13 tahun dan ia bukan satu produk baharu.

“Saya pun tidak faham kenapa sekarang pula bersifat hipokrit dan munafik, untuk apa? Jangan halang kerajaan untuk bantu rakyat,” katanya.

Sementara itu, Kor Ming berkata, pihaknya mensasarkan bagi RUU Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025, RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 dan RUU Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025, dikuatkuasakan tahun ini.

Beliau berkata, ia kerana pelaksanaan undang-undang itu adalah penting bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Tidak boleh tunggu lagi, saya tidak mahu pelancong asing masuk ke Malaysia dan nampak negara kita kotor…itu memang malu. Kita kena pastikan imej negara terjaga,” katanya.

Kor Ming berkata, KPKT membentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, antaranya untuk membolehkan mahkamah mengenakan perintah khidmat masyarakat hingga 12 jam bagi kesalahan pembuangan sampah kecil.

Katanya, bacaan kali kedua dijangka akan dilakukan pada sesi Dewan Rakyat akan datang,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat