KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu bermimpi untuk menjadi “kerajaan menanti” jika dia sendiri bercita cita mahu menjadi Perdana Menteri sekali lagi, kata Datuk Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu sebaliknya meminta Ahli Parlimen Pagoh itu menyelesaikan dulu kes kes mahkamahnya.
Puad malah menggesa agar Muhyiddin membuktikan kepada rakyat ketelusannya iaitu membawa balik menantunya untuk menghadapi proses keadilan di Malaysia.
Bahkan katanya, rakyat mahu tahu cerita sebenar Jana Wibawa.
“Muhyiddin mendakwa dia ada solusi untuk menyelesaikan isu rakyat. Dia mendabik dada kononnya kerajaan 17 bulannya dulu berjaya. Termasuk mengharungi pandemik Covid-19.
“Hakikatnya dia Perdana Menteri ke 8 yang gagal. PKP separa masak telah menggandakan jumlah kematian dari 2,800 kepada 5,768 dalam tempoh 38 hari “total lockdown” diumumkan.
“Indeks Pengendalian Covid-19 yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan negara di tempat ke-3 paling corot antara 53 negara ekonomi utama,” katanya.
Menurut Puad lagi, Muhyiddin bangga pada moratorium pinjaman dan pengeluaran khas KWSP.
“Sedangkan itu idea Najib dan jadi syarat sokongan BN kepadanya. Pas menyindir syarat itu umpama syarat Puteri Gunung Ledang. Tetapi skim i-Citra yang dilaknanakan jadi i-Marah di kalangan rakyat.
“Kemuncak gagalnya Muhyiddin ialah wujud Gerakan #Bendera Putih di merata tempat.
“Apakah Muhyiddin ada masalah “short memory”? soal Puad.
Semalam media melaporkan, PN melaungkan keyakinan mampu menerajui negara lebih baik untuk membetulkan isu asas rakyat berbanding kerajaan perpaduan.
Menurut Pengerusi PN Muhyiddin, sebarang perubahan kerajaan perlu melalui proses demokrasi.
“Kita (PN) boleh betulkan keadaan. Rakyat kini berhadapan dengan situasi yang amat sukar, pendapatan tidak meningkat, barang naik luar jangkaan, subsidi sudah tidak ada, ini amat menyulitkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Media di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya.
Muhyiddin berkata, hasrat menjadi “kerajaan menanti” di Putrajaya bukan sekadar omong kosong, mengambil kira kemampuan gabungan itu menempuh pandemik Covid-19.
Beliau berkata, walaupun tiada rujukan menguruskan wabak berkenaan, kerajaan gabungan itu berjaya mentadbir dengan baik, lalu keluar daripada pandemik.
“Masa itu tak ada vaksin tak ada apa semua. Tapi, akhirnya kita dapat menyelesaikan masalah ini termasuk menyelamatkan ekonomi negara,” katanya.
Katanya, sehingga hari ini orang ramai yang ditemuinya masih mengucapkan penghargaan atas inisiatif diperkenalkan kerajaan PN seperti moratorium pinjaman dan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Mereka kata…kalaulah tidak adanya apa disebutkan soal subsidi ataupun moratorium yang kita sediakan waktu itu, apa lagi pengeluaran KWSP dan dan sebagainya, sebahagian besar mereka tidak akan dapat terus hidup,” katanya.