KUALA LUMPUR – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengingatkan golongan intelektual terutamanya pensyarah universiti supaya tidak sewenang-wenangnya membuat teori yang bukan-bukan dan merapu tanpa bersandarkan fakta yang bersifat populis.
Tegas Zambry,seorang pensyarah sewajarnya harus bertanggungjawab atas disiplin ilmunya dalam tradisi keintelektualan dan kesarjanaan.
“Maksudnya seseorang pensyarah tidak akan bercakap secara merapu, tanpa fakta bahkan dengan membuat teori-teori yang bukan-bukan.
“Jadi kita tak mahu dengar antaranya ada populis intelektual, kena ada fakta apa yang dia nak berbicara. (Jangan) oleh kerana dia tengok populis boleh jadi popular dengan satu satu tajuk termasuklah dengan menggunakan teori bahawa Siti Khadijah binti Khuwailid dari Kedah, sebagai contoh dan ini menimbulkan kekeliruan dan ini disebutkan minda tertawan.
“Jadi mereka (pensyarah) kena tahu itu dan ini perlu menjadi sebagai disiplin diri. Sebagai seorang intelektual, pensyarah kamu boleh bercakap apa saja tetapi tertakluk kepada disiplinnya dan berasaskan kepada asas-asas yang baik, data-data yang baik.
“Kerana seorang intelektual itu jangan sampai akhirnya orang anggap Bahawa intelektual itu sama saja dengan yang ada di bawah sana, jadi inilah kita sering peringatkan,” kata Zambry di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menteri KPT itu berkata demikian menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH – Pulai), yang memintanya menjelaskan garis pemisah antara kebebasan intelektual dan ruang manipulasi dalam dunia akademik.
Meskipun Zambry tidak menyebut merujuk sesiapa tetapi sebelum ini pernah muncul kenyataan kontroversi pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Solehah Yaacob.
Kenyataan “Siti Khadijah berasal dari Kedah” dipetik oleh profesor bahasa Arab dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Solehah Yaacob.
Solehah dikaitkan dengan kontroversi dakwaan Khadijah dari alam Melayu.
Bagaimanapun, dia mendakwa video ceramahnya berkaitan perkara itu dipotong sehingga disalah erti kemudian, UIAM kemudiannya mengambil tindakan mengikut kod etika kakitangannya.
Mengulas lanjut Zambry turut memperincikan Akta 605.
“Dalam konteks sebuah universiti awam itu kita perlu melihat dalam konteks universiti berkenaan tidak terlibat dalam keseluruhan pekeliling secara awam atau secara umum yang diberikan kepada semua pihak yang terlibat yang tertakluk di dalam kategori yang disebutkan sebagai badan-badan berkanun.
“Ini antara langkah yang sedang kita lakukan dan langkah ini antara langkah ke hadapan, radikal. Saya sedang mencuba untuk melakukan perkara ini bagi membolehkan iklim dalam sebuah universiti itu tidak terkongkong dengan ketakutan untuk menyampaikan pandangan mereka tapi dengan syarat dalam tradisi keintelektualan, kesarjanaan seseorang yang akan bercakap itu dia tidak akan bercakap secara merapu, tanpa fakta dengan membuat teori-teori yang bukan-bukan,” jelas Zambry.