KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menghentikan amalan ‘umum dulu, fikir kemudian’ dalam memperkenalkan dasar.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan amalan ‘umum dulu, fikir kemudian’ ini disifatkan mampu mencetuskan ketakutan dan kegelisahan rakyat.
Wakil rakyat daripada MUDA itu berkata demikian merujuk Belanjawan 2025 apabila kerajaan mengumumkan subsidi RON95 dan pendidikan akan ditarik daripada golongan T15, sedangkan klasifikasi golongan itu masih belum ditentukan.
Justeru, hal ini menyebabkan rakyat menggunakan garis pendapatan isi rumah yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) sebelum ini, di mana turut digunakan bagi penyasaran subsidi diesel.
“Ini masalah bila kita umum dulu, fikir kemudian kerana rakyat sudah dengar ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan apa (subsidi) yang mereka bakal hilang.
“Pengumuman itu dah buat tapi sekarang bila didesak, mereka (kerajaan) kata tidak apa, kita fikirkan dulu tapi rakyat sudah gelisah di bawah.
“Sebab itu, janganlah berikan banyak alasan dalam bab ini. Cukup-cukuplah umum dulu, fikir kemudian kerana realitinya, lagi lama kita tunggu, lagi susah rakyat untuk bersedia, syarikat untuk merancang dan kita sebagai pembangkang mengemukakan cadangan balas,” tegas Syed Saddiq.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Menjawab kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mempertahankan pendekatan pengumuman subsidi itu, Syed Saddiq berkata, Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang mungkin digunakan dalam penentuan subsidi itu sehingga hari ini masih belum diketahui perinciannya.
“Pelaksanaan subsidi diesel pun tidak ikut PADU. Jika gaji tahunan isi rumah di bawah RM100,000, mereka layak dapat bantuan Budi Madani.
“Dengan tiadanya data terkini, data sedia ada oleh DOSM perlu digunakan. Sebab itu rakyat di bawah gunakan klasifikasi sama sehingga ada alternatif baharu yang dikemuka kerajaan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut meminta kerajaan supaya tidak menarik subsidi secara serentak kerana akan memberi kesan kepada moral rakyat yang terkesan, sebaliknya jika dilakukan, ia dibuat secara beransur-ansur.
Beliau juga berpandangan, penarikan subsidi itu akan memberi kesan kepada golongan pertengahan dan wanita yang bekerja, yang mungkin diminta untuk berhenti kerja oleh suami mereka, hanya untuk memastikan mereka sekeluarga dapat menikmati subsidi.
“Bayangkan alternatif yang kerajaan umumkan pada hari ini. Suami bergaji RM7,000, isteri bergaji RM6,000, melangkaui nilai ambang sedia ada) masuk ke T15 dan ketiga-tiga subsidi, iaitu petrol, pendidikan dan kesihatan tak dapat.
“Dengan itu, akan ada tekanan yang datang kepada keluarga itu sendiri khususnya daripada suami untuk isteri berhenti kerja kerana akhirnya ada seorang saja yang bergaji untuk keluarga itu,” katanya.