JOHOR BAHRU – Negara kehilangan permata yang banyak berjasa terutama kepada institusi kewangan iaitu bekas gabenor Bank Negara , Allahyarham Tan Sri Ahmad Mohd Don yang telah menghembuskan nafas terakhir pada 17 September lalu di kediaman keluarganya di Jalan Tengah, Stulang Bahru.
Berita pemergian Allahyarham turut memberi kesan kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Sri Anwar Ibrahim yang turut menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan keluarga agar diberi kekuatan.
“Mendoakan kekuatan buat keluarganya atas ujian yang getir ini dan semoga ruhnya diberi keampunan oleh Allah SWT serta ruhnya diberikan tempat yang terbaik olehnya” kata beliau dalam hantaran Facebook miliknya.
Turut mendapat perhatian daripada pelbagai agensi-agensi dan jabatan-jabatan dengan kiriman ucapan takziah diatas pemergian Allahyarham dan salah satu darinya juga adalah daripada PPZ-MAIWP.
“Jasa dan sumbangan beliau dalam industri perbankan negara dari tahun 1994 – 1998 akan diingati oleh seluruh rakyat Malaysia dan pastinya sumbangan Almarhum kepada asnaf melalui bayaran zakat di Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) sejak tahun 1995 lagi.
Allahyarham meninggal pada usia 77 tahun dan kisah perjalanan pemergiannya turut dikongsikan oleh isterinya Puan Sri Hamidah Mohamed.
Menurut beliau, pada penghujung November tahun lalu, Allahyarham telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan di tahan selama dua minggu serta diintubasi.
Setelah itu Allahyarham turut ditahan lagi untuk beberapa minggu akibat penyakit yang dihidapinya.
Bagaimana pun situasi yang dilaluinya dalam beberapa minggu tersebut telah menyebabkan Allahyarham mengalami trauma dan mengambil keputusan tidak ke hospital serta menolak untuk membuat “tapak” bagi menjalani proses dialisis seperti yang disarankan oleh pihak doktor.
Walaubagaimanapun, Allahyarham hanya dapat bertahan sehingga bulan Mei 2024 dan ditahan semula di Sunway Medical Petaling Jaya .
Kali ini Allahyarham bersetuju untuk menjalani proses membuat “tapak” dialisis seterusnya menjalani rawatan tersebut bermula dengan tiga kali dalam seminggu sehinggalah dinaikkan kepada empat kali seminggu.
Puan Sri Hamidah sekeluarga meluahkan rasa berterima kasihnya kepada kumpulan doktor yang bertungkus lumus menjaga dan merawat Allahyarham semasa hayatnya iaitu Nephrologist Dr.Thiruventhiran dan Dr Azreen, Cardiologist Dr .Datuk Anuar Marzuki dan Dr. Mohd Kamal, Geriatrician Dr .Edward dan Dermatologist Dr .Sharifah Rosniza.
Mengenang minggu-minggu terakhirnya dan atas dasar tanggungjawab yang digalas, Allahyarham yang masih berada di Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) telah meminta pihak peguam, kakitangan bank dan juga kakitangan Amanah Saham Berhad (ASM) untuk berjumpa bagi menyelesaikan semua urusan-urusan yang tertangguh dan yang belum selesai .
Setelah 16 hari berada dalam unit HDU akhirnya para doktor yang merawat Allahyarham memaklukan bahawa mereka tidak dapat meneruskan lagi alat sokongan perubatan.
Justeru, isterinya telah mengambil keputusan membawa suaminya dengan persetujuan pulang ke rumah mereka.
Pada 16 haribulan sekitar jam 11.30 malam pihak ambulan dan keluarga sampai di rumah Johor Bharu dan mengambil masa kira-kira sejam bagi kumpulan paramedik menguruskan penyediaan dan ketibaannya di rumah.
Walaubagaimana pun, Allah lebih menyayangi Allahyarham apabila jam 1.50 pagi pada 17 oktober 2024, ketika isterinya menunaikan solat telah dimaklumkan oleh anaknya tentang pemergian suami tercinta. Allahyarham juga sempat meminta kesemua anak-anak dan cucu-cucunya berkumpul dan mengambil gambar bersama pada minggu terakhir hayatnya.
Allahyarham telah dimandi dan dikapankan di Surau Darussalam Stulang Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Danga pada jam 10.30 pagi.
Tan Sri Ahmad memiliki pengalaman yang luas dalam bidang kewangan dan perbankan.
Beliau bermula dengan meraih kelulusan dalam pendidikan Ijazah Ekonomi dengan Kepujian daripada Universiti Wales, Aberystwyth, United Kingdom pada tahun 1969.
Beliau merupakan ahli Fellow Institute of Chartered Accountants di England dan Wales serta ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah.
Menerusi pengalaman tersebut, beliau telah dilantik sebagai gabenor Bank Negara ke_5 iaitu dari bulan Mei 1994 hingga bulan Ogos 1998.
Beliau pernah menyandang jawatan selaku Ketua Pengarah Eksekutif Maybank dari tahun 1991 hingga tahun 1994.
Beliau meluaskan lagi kepakaran dengan memikul peranan penting selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Alliance Bank Malaysia Bhd pada tahun 2017 sehingga tahun ini.