KUALA KANGSAR — Durian MDUR 88 yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapat permintaan tinggi daripada setanding dengan durian jenis Musang King.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata pihaknya mahu tanaman durian itu dipertingkat untuk dieksport ke pasaran antarabangsa.
“Kita mahu memperluas lagi tanaman durian
MDUR 88 di negara ini kerana pengeluarannya mash belum mencukupi untuk menampung permintaan dalam negara sebelum kita mengeksportnya.
“Duriotourism@Mardi Kuala Kangsar menerima ramai pengunjung dari luar seperti China, Thailand, Kazakhstan dan mereka (pengunjung) boleh menerima varieti durian MDUR 88 ini. Jadi, kita yakin (durian MDUR 88) boleh ke pasaran antarabanasa,” katanya selepas lawatan kerja ke Duriotourism@Mardi Kuala
Kangsar bersama pengamal media, semalam.
Selain itu Arthur menjelaskan durian MDUR 88 mempunyai keunikan dengan tekstur yang halus selain rasa lemak dan juga manis.
“Pada pendapat saya, durian MDUR 88 adalah durian paling sedap yang pernah dimakan dan harganya sangat berpatutan di pasaran.
“Pakej Duriotourism yang ditawarkan mengikut musim durian memberikan peluang unik kepada pengunjung untuk melawat ladang durian sebenar dengan menaiki tram, ditemani jurupandu berpengalaman dalam penanaman dan varieti durian.
“Pengunjung juga berpeluang menikmati buah-buahan terus dari ladang,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pengerusi MARDI, Dr. Azman Ismail.
MARDI Kuala Kangsar telah diisytiharkan sebagai salah satu destinasi pelancongan dan dikenali sebagai Durio Tourism, sebuah pusat pelancongan berasaskan durian dan buah-buahan tropika dengan tema ‘dusun village’.
Lebih daripada 20 jenis durian klon dan kampung ditanam di sini, termasuk durian hibrid MARDI seperti MDUR 78 (D188), MDUR 78 (D189), dan MDUR 88 (D190) yang sering mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung dan penanam durian di seluruh negara.
MDUR 88 merupakan klon durian hibrid yang telah dibangunkan oleh MARDI iaitu hail kacukan antara induk D10 dengan D24 dan pertama kali diisytiharkan pada 1991.