Suasana penuh gemilang menghiasi sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur hari ini apabila Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Fadhlina binti Sidek melancarkan koleksi tudung eksklusif Merdeka 2024 PROSPEC KPM X FAZURA. Acara tersebut menandakan kolaborasi bersejarah antara kelab PROSPEC Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan ikon fesyen terkenal, FAZURA, dalam meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-67.
Koleksi khas Tudung FAZURA Purple Label ini menampilkan 12 rekaan unik beraneka warna yang selaras dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, iaitu ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’. Terinspirasi daripada warna-warna Jalur Gemilang, lakaran landskap ikonik tempatan, dan kemeriahan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, setiap rekaan direka khusus untuk mengungkapkan semangat dan pengisian kemerdekaan negara melalui pencapaian dinamik rakyat yang berjiwa merdeka.
Acara pelancaran turut diserikan dengan persembahan memukau oleh Ella, seorang artis terkenal Malaysia, menambah kemeriahan dan kemegahan majlis. YB Menteri Pendidikan, bersama-sama dengan hampir 300 tetamu jemputan termasuk YBhg. Dato’ Sri Noorhuda binti Haji Alias dan YBhg. Dato’ Ahmad Firdaus bin Baharuddin, turut serta menikmati persembahan tersebut, diikuti dengan sesi makan tengah hari yang diadakan.
Kerjasama antara PROSPEC KPM dan jenama FAZURA adalah yang pertama seumpamanya, menggambarkan potensi besar dalam hubungan awam-swasta untuk manfaat masyarakat. Koleksi ini bukan sahaja menarik minat pencinta fesyen tetapi juga membuka peluang kerjasama masa depan yang lebih besar dalam pelbagai bidang.
Untuk organisasi awam dan swasta yang berminat mendapatkan koleksi khas ini pada harga korporat, boleh menghubungi wakil PROSPEC KPM melalui WhatsApp di 017-4469726. Bagi pembelian secara dalam talian, koleksi ini boleh didapati di laman rasmi www.fazura.com, FAZURA Apps, dan ShopeeMall FAZURA Official Store.
Koleksi Merdeka 2024 PROSPEC KPM X FAZURA bukan sekadar koleksi tudung biasa, tetapi juga simbol semangat dan jiwa merdeka rakyat Malaysia. Koleksi ini merupakan hasil kerjasama unik antara sektor awam dan swasta yang membawa manfaat kepada masyarakat. Marilah kita bersama-sama menghayati erti kemerdekaan dengan penuh rasa cinta dan patriotisme kepada negara.
