KUALA LUMPUR- Membaca Qunut Nazilah bagi mendoakan kehancuran saudara seagama boleh memberi kesan yang besar dan membawa kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, Qunut Nazilah seharusnya dibacakan untuk tujuan tertentu atau di tempat yang sepatutnya, dan bukannya untuk mendoakan musibah terhadap saudara seagama.
“Walaupun ada perbezaan pandangan politik janganlah sampai kita mengajak masyarakat untuk menganjurkan atau kita berdoa Qunut Nazilah.
Jadi ada perbezaan pandangan, kita urus dengan cara yang baik. Tak perlu sampai mendoakan musibah untuk hancurkan kepada rakan seagama kita, katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sahabat Wakaf Korporat Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di Putrajaya lapor FMT pada Selasa.
Na’im mengulas tindakan pembangkang membaca Qunut Nazilah selepas usul menggantung Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 Julai lalu.
Wan Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan susulan kenyataannya berhubung dalang pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Sementara itu, Na’im berkata beliau mengarahkan Qunut Nazilah dibaca di semua masjid-masjid di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Beliau berkata ini bagi mendoakan rakyat di Palestin yang menjadi mangsa kezaliman rejim Zionis.