KUALA LUMPUR — Semua pihak dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam hal pembelian kereta import terpakai agar tidak tertipu dengan tawaran peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Pengasas aplikasi SCRUT, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel berkata, antara taktik penjual kereta terpakai untuk menipu pembeli demi mengaut keuntungan ialah dengan tawaran jaminan tempoh waranti yang lebih panjang.
“Mengikut rekod, jumlah jualan kereta terpakai di negara ini kekal sekitar 400,000 hingga 450,000 unit setahun sejak 30 tahun lalu, berbanding kenderaan baharu merekodkan hampir 800,000 unit tahun lalu.
“Malah, peniaga-peniaga tidak bertanggungjawab ini semakin berani dan ‘terdesak’ untuk melariskan jualan mereka memandangkan perlu bersaing dengan penjualan kenderaan baharu di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan pihaknya sering mendapat aduan pengguna yang menjadi mangsa penipuan kereta import terpakai dan kereta terpakai tempatan sejak aplikasi tersebut dilancarkan pada 2019.
“Apa yang saya boleh nasihatkan adalah masyarakat perlu cakna bagaimana cara untuk mengelakkan daripada ditipu kapitalis jahat yang sudah lama menguasai pasaran dengan menipu masyarakat.
“Antaranya adalah dengan menggunakan aplikasi Scrut untuk menyemak sejarah dan maklumat kereta yang hendak dibeli atau membawa kereta yang hendak dibeli ke bengkel-bengkel kereta yang mereka percayai untuk melakukan pemeriksaan ke atas kereta tersebut,” katanya.
Jelasnya antara individu yang hampir menjadi mangsa ialah pelakon, Sofi Jikan yang dipercayai ditipu oleh penjual ketika membeli sebuah kenderaan terpakai.
Beliau berkaya, pengalaman tersebut telah dikongsi dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial SCRUT.
Kereta tersebut dikatakan merekodkan jumlah perbatuan 122,000 kilometer (km) dan tanpa terlibat kemalangan.
Namun setelah disemak, jumlah perbatuan sebenar kenderaan tersebut telah mencecah 144,000km sejak 2019, selain terdapat rekod kemalangan.