KOTA KINABALU – Barisan Nasional Sabah perlu mempunyai tiga resipi utama sekiranya mahu kembali memerintah Sabah iaitu, politik yang terangkum, menuntut autonomi negeri, dan keupayaan membangunkan negeri ini.
Bekas ketua menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata sejarah dan budaya yang unik membentuk politik yang tersendiri di Sabah dan ini menuntut perspektif politik yang unik dalam kepimpinan Barisan Nasional dan UMNO.
Salleh, yang berkhidmat sebagai ketua menteri dari 1994 hingga 1996, berkata parti politik yang tidak memenuhi tiga perkara itu mengundang kegagalan.
“Sabah kerap bertukar kerajaan, bak kata orang Sabah – sekerap kita bertukar pakaian,” katannya semasa menjadi ahli panel forum ‘BN Membina Negara Bangsa’ sempena Konvensyen BN Sabah di Sandakan, Ahad lalu.
Menurut Salleh, purata parti yang memerintah Sabah hanya bertahan 10 tahun, apabila ada isu politik akomodasi, rakyat tukar pula dengan parti lain.
“Kita dapat lihat apa yang berlaku kepada Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
“Selepas kira-kira 10 tahun berkuasa, USNO kalah pilihan raya, bukan sebab pembangunan, tapi kononnya tiada perkongsian kuasa di antara Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina.
“Kemudian, sebuah lagi parti baharu ditubuhkan dan menang pilihan raya. Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) pada mulanya hebat, tapi selepas 10 tahun ditukar lagi,” katanya.
Beliau mengimbau pembangunan Sabah pada masa itu hebat, tetapi kerana politik akomodasi, BERJAYA kalah juga akhirnya.
“Jadi, di Sabah ini, kita kena berkongsi kuasa di antara Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina,” katanya mengumpamakan pertukaran kerajaan negeri di Sabah yang kerap berlaku itu seperti menukar baju.
“Kerajaan yang ingin berjaya harus mengimbangi tiga segmen utama dalam masyarakat Sabah – Bumiputera beragama Islam, Bumiputera yang bukan beragama Islam, dan komuniti Cina.” tegas Salleh lagi.
Sejak 1967 Sabah telah mengadakan 16 pilihan raya negeri dan mempunyai 14 bekas ketua menteri kerana keperluan mengadakan politik akomodasi atau perkongsian kuasa di antara Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina yang menjadi kumpulan utama di negeri ini.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan, Sabah itu, selain politik akomodasi, rakyat Sabah juga mengharapkan kerajaan mereka menuntut autonomi politik yang lebih luas.
“Maka semua parti komponen kerajaan negeri harus sefahaman dalam hal menuntut autonomi politik daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Pada masa sama, rakyat Sabah juga mahu kerajaan mereka membawa pembangunan.
Salleh berkata BN dan Umno Sabah harus diberi ruang untuk menentukan arah di peringkat negeri, memandangkan tidak ada formula pukul rata bagi politik peringkat persekutuan dan negeri.
“Kita perlu pilih rakan berdasarkan tiga faktor ini. Arah tujuan kita sehala dan bersetuju dasar-dasar yang sama,” ujarnya.
Awal bulan ini media melaporkan Umno pusat menolak permintaan Umno Sabah yang memohon diberi kuasa untuk memilih sekutu menjelang pilihan raya akan datang.
Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata ia bagi mengelak ‘kejanggalan’ dalam dasar parti.
Menurutnya, Umno pusat tidak mahu negeri-negeri membuat keputusan tidak selari dengan kedudukannya, kerana ia akan merumitkan parti menyelaraskan dasar jika Umno negeri membuat keputusan berlainan.
Pada Disember, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata partinya akan bekerjasama dengan Umno Sabah pada PRN akan datang.
Namun, Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir, pada Mac berkata pihaknya masih mempertimbangkan kemungkinan bergerak solo.