KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi mengemukakan saran agar Datuk Seri Azmin Ali bertanding merebut jawatan Presiden Bersatu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Puad membidas gesaan Isham Jalil yang mencabar Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding jawatan presiden parti, sekali gus membawa Umno keluar daripada gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Daripada suruh Mat Hasan lawan Zahid baik suruh Azmin lawan Muhyiddin. Tidak payah selamatkan Malaysia. Selamatkan dulu Bersatu.
“Bersatu hidup kepura-puraan. Walhal parti itu merudum bila enam ahli Parlimen Bersatu beri sokongan pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tidak ada negeri dikuasai Bersatu. Bersatu terlepas Sabah bila (Datuk Seri) Hajiji Noor tubuh Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
“Bersatu parti fragile. Menumpang nyawa dengan PAS. Ia kapal senget sebelum tenggelam. Lagi Umno naik, lagi Bersatu senget,” dakwa Puad.
Kelmarin, Isham Jalil mencabar Timbalan Presiden Umno bertanding jawatan Presiden parti.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu mendakwa, keputusan terbabit akan turut disokong oleh akar umbi parti yang tidak mahu lagi terus dipimpin oleh Zahid Hamidi.
“Tok Mat kata akan kekalkan jawatan timbalan presiden. Lawanlah Zahid Hamidi. Lawan presiden, banyak akar umbi Umno akan sokong, katanya ketika siri jelajah Gelombang Selamatkan Malaysia pada Sabtu.
Selain itu, Isham berkata Umno tidak boleh lagi menunggu terlalu lama untuk membuat keputusan khususnya dalam menghadapi PRU16.
Katanya, parti itu perlu memutuskan segera sama ada untuk bersama Pakatan Harapan (PH) atau bertanding solo dengan menggabungkan semula kekuatan parti Melayu Islam menerusi Muafakat Nasional (MN).
“Sekarang ada mesyuarat di peringkat bahagian, cawangan (Umno), Zahid kata nak pergi PRU16 dengan PH, Tok Mat kata nak bertanding solo. Saya nak cakap pada mereka, banyak bahagian dah buat keputusan untuk bertanding solo.
“Saya ingin sampaikan kepada Tok Mat, kalau nak solo, buat keputusan sekarang. Keluar kerajaan perpaduan, sertai MN balik. Kalau nak keluar, keluar sekarang. Jika keputusan ‘last minute’, kita akan pecah undi dan Zahid akan menang semula.
Objektif kita sebelum PRU16 untuk kembalikan MN supaya parti Melayu Islam, PAS, Bersatu, dan Umno bergabung, baru boleh menang. Umno ‘original’ nak dengan kita, katanya.
Terdahulu, Mohamad dilaporkan berkata tiada jaminan Umno bersama mana-mana gabungan politik berdepan PRU16 nanti kerana ia tidak terikat dengan sebarang parti untuk bergabung.
Katanya, Umno sebaliknya hanya terikat dengan perjanjian untuk menubuhkan kerajaan bagi menguruskan negara.
Bagaimanapun, Zahid pada Jun lalu dilaporkan berkata Barisan Nasional (BN) akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16 dan masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri.