‘Pameran IMT-GT: Rantau’ sebuah ungkapan artistik seniman visual tiga negara Asean

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KUALA LUMPUR – ‘Pameran IMT-GT: Rantau’ memaparkan usaha Balai Seni Negara yang sentiasa komited dalam menyokong perkembangan seni serantau selain turut mengeratkan hubungan antarabangsa dan menggalakkan kemajuan sektor pelancongan.

Pameran ini diadakan bagi meraikan Tahun Melawat Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle atau sinonim dengan IMT-GT 2023-2025.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Shaik Rizal Sulaiman, berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis perasmian Pameran IMT-GT: Rantau di sini pada Khamis lalu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad; Pengarah Centre for Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) Subregional Cooperation, Amri Bukhairi Bakhtiar; Ketua Pengarah Istana Budaya , Zubaidah Mukhtar serta wakil daripada Kedutaan Indonesia dan Thailand di Malaysia.

Shaik Rizal berkata, kerjasama tiga buah negara menerusi pameran ini mampu untuk mengangkat nilai kebersamaan dalam meraikan kepelbagaian budaya dan kebersamaan serantau.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad berkata, pameran ini adalah sebuah ungkapan artistik seniman visual Malaysia, Indonesia dan Thailand selaras dengan dasar ekonomi kerajaan untuk memajukan Koridor Utara IMT-GT serta nilai sepupunya komuniti serumpun ini.

Ujarnya, pameran ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan serantau malah membuka peluang ekonomi baru melalui industri kreatif dan bahasa visual yang lebih universal.

Sementara itu, ‘Pameran IMT-GT: Rantau’ yang sedang berlangsung di sini sehingga 1 Disember 2024 menampilkan lima kurator, dua kolektif seni, empat artis solo dan dua artis duo daripada tiga negara Asean.

Indonesia diwakili oleh kurator Bayu Genia Krishbie dari Galeri Nasional Indonesia bersama kumpulan kolektif Rumah Ada Seni dari Padang, Sumatera Barat, terdiri daripada sembilan orang ahli, diketuai oleh Yusuf Fadly Aser.

Kumpulan kolektif Sikukeluang dari Pekan Baru, Riau yang bersifat transdisiplin bersama enam orang ahli yang diketuai oleh Adhari Donora, serta duo Arifa Safura dan DJ Rencong pengkarya dari Acheh.

Manakala Malaysia diwakili oleh gandingan kurator, Faridah Hanim Abd Wahab dan Adina Quraisa Ibrahim serta penulis jemputan Liu Cheng Hua, bersama artis Chong Yan Chuah serta duo Khairul Izzudin dan Shamin Sahrum.

Ketiga-tiga artis ini mempunyai latar belakang dalam bidang seni bina dan pengkaryaan berskala besar dengan menyumbangkan karya yang berkait dengan tema Rantau dan pengalaman diri berkaitan ‘merantau’.

Manakala Thailand pula diwakili oleh kurator dari Bangkok Art Biennale Suebsang Sangwachirapiban bersama artis Nordiana Beehing dari Yala, Maneerat Thamnarak dari Chumphon dan Arichama Pakapet dari Songkhla.

Pameran yang unik dari ketiga-tiga negara Asean ini menggambarkan pencetusan pemikiran, perasaan tentang alam, perhubungan keluarga, perjuangan, kelangsungan hidup serta kisah masa lalu.

Orang ramai dan peminat seni dijemput ke Balai Seni Negara untuk menghayati kepelbagaian budaya negara Asean menerusi pameran ini, dan masuk adalah percuma.

Maklumat lanjut boleh diikuti dengan melayari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau di media sosial rasmi Balai Seni Negara. – SUARA.TV

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat