KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan kerajaan mempertahan hak rakyat Malaysia untuk bebas bersuara.
Walau bagaimanapun kata Menteri KKD, Fahmi Fadzil, kandungan media sosial yang melanggar undang-undang Malaysia tidak boleh dibenarkan, termasuk yang menyentuh isu 3R atau mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.
“Pagi ini saya telah memanggil wakil TikTok untuk hadir ke mesyuarat yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Manoj Kurup, dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Salim Fateh Din.
“Melalui perbincangan tadi, TikTok setuju untuk beri komitmen penuh memantau dan mengambil tindakan terhadap kandungan sedemikian dengan lebih efisien, selaras dengan Garis Panduan Komuniti Tiktok itu sendiri,” kata Fahmi dalam kenyataan pada Isnin.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu perbelanjaan pengiklanan yang kini dikaut oleh syarikat gergasi teknologi antarabangsa.
“Saya akan bantu memastikan industri media kekal mampan, termasuk dengan merancakkan perbincangan di antara kerajaan, industri media, dan platform media sosial,” katanya.