Ahli PAS Tanding Calon Bebas Gugur Keahlian Secara Automatik – Takiyuddin

- Advertisement -

CYBERJAYA – PAS memandang serius langkah beberapa ahli yang melanggar disiplin dan keputusan parti susulan penyertaan mereka tanpa kebenaran dan restu parti dalam Pilihan Raya Umum DUN (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takituddin Hassan berkata ia khususnya melibatkan dua tempat di Kedah, iaitu di DUN Ayer Hangat dan DUN Kuah.

“Berdasarkan laporan Setiausaha PAS Kawasan Langkawi yang baru diterima oleh Pejabat Setiausaha Agung PAS, lapan orang ahli PAS di kawasan itu didapati telah melanggar ketetapan tersebut dengan bertanding sebagai calon Bebas di kedua-dua DUN berkenaan, selain yang bertindak sebagai wakil calon, pencadang dan penyokong bagi kedua-dua calon Bebas berkenaan.

“Menurut laporan itu juga, semua langkah telah diambil oleh pihak kepimpinan tempatan bagi memujuk dan menghalang individu terbabit daripada meneruskan niat tersebut, tetapi gagal mencapai matlamat yang diharapkan.

“Seperti ditegaskan oleh Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang pada 26 Julai serta makluman Setiausaha Agung PAS pada 27 dan 30 Julai, mana-mana ahli yang mengingkari keputusan parti dengan bertanding sebagai calon Bebas atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh merugikan parti boleh diambil tindakan tegas, termasuk dipecat keahlian mereka,” katanya, menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya lagi, bagaimanapun pada hari ini Pejabat Setiausaha Agung telah menerima surat daripada kedua-dua ahli yang menjadi calon Bebas tersebut dan salah seorangnya telah meletakkan semua jawatan yang disandangnya dalam parti.

“Ini diikuti dengan surat daripada tiga (3) ahli lain yang bertindak sebagai pencadang, penyokong dan wakil calon bagi calon tersebut yang turut melakukan perkara yang sama.

“Seorang lagi ahli yang menjadi calon Bebas itu pula mengisytiharkan keluar parti.

“Oleh sebab ketetapan berhubung perkara ini dianggap telah dimaklumi oleh semua ahli PAS, maka parti tidak mempunyai pilihan selain daripada menguatkuasakan peraturan sedia ada tanpa menjejaskan hak individu terbabit untuk merayu atau mengemukakan permohonan keahlian baharu pada masa- masa akan datang.

“Mereka yang berkenaan (kecuali yang telah keluar parti) turut diberikan pilihan untuk membuat perisytiharan menarik diri daripada pertandingan serta meminta para penyokong mereka supaya menyokong calon-calon Perikatan Nasional (PN) di kedua-dua DUN terbabit.

“Jika tawaran ini diterima, maka ia boleh menjadi faktor mitigasi terhadap apa- apa pertuduhan tatatertib yang boleh dibuat terhadap mereka,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, PAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli terbabit atas penglibatan, sumbangan, jasa baik dan pengorbanan yang diberikan kepada parti selama ini dengan harapan ia diterima sebagai ibadah dan amal soleh di sisi Allah SWT.

“PAS percaya perbezaan pandangan dan keutamaan pada detik atau berkait isu- isu tertentu dan khusus seperti ini bukanlah pemutus terhadap hubungan baik dan rasa persaudaraan yang telah terjalin sejak sekian lama antara individu terbabit dengan parti dan ahli-ahli yang lain.

“Sehubungan itu juga, PAS menggesa semua ahli dan penyokong parti supaya terus menyokong dan mengundi calon-calon PN yang telah dipilih dan disahkan dalam PRN kali ini.

“PAS percaya komitmen dan sokongan bulat kepada keputusan-keputusan yang dibuat oleh pihak kepimpinan PN berhubung PRN ini adalah kritikal bagi menjayakan perancangan bersama yang telah digariskan, selain sangat penting untuk pencapaian matlamat yang lebih besar, iaitu untuk kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya.

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat