KUALA LUMPUR – Platform media sosial TikTok disifatkan lebih tajam daripada segala senjata tajam,” kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional(PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Bahkan kata beliau, TikTok kini ibarat mimpi ngeri buat Kerajaan Perpaduan.
“Kalau dulu peribahasa selalu menyebut, mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Memang itu adalah kebenarannya.
Peribahasa itu kekal relevan sehingga ke hari ini – cuma dalam realiti senario semasa TikTok lebih tajam daripada segala senjata tajam.
“Hinggakan TikTok ini sudah menjadi mimpi ngeri kepada kerajaan PH-BN pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Hamzah dalam kenyataan pada Isnin.
Setiausaha Agung Bersatu itu juga menyatakan, segala tekanan dikenakan antaranya kandungan dipadam, akaun dinyahaktifkan dan tidak cukup dengan itu, ugutan serta pendakwaan dibuat hanya kerana mereka nipis telinga dan panas punggung bila dikritik.
“Semalam, saya bersama kumpulan Tiktokers yang jiwa dan raganya menyokong PN.Banyak perkongsian serta pandangan kami utarakan.
“Mereka ini wira yang berjuang tanpa jawatan dan bayaran. Sekalung terima kasih saya ucapkan kepada mereka semua. Tiktokers bukan wira yang tak didendang,” kata Hamzah.