KUALA LUMPUR- Kementerian Komunikasi dan Digital tidak mempunyai kuasa untuk menyekat akaun pengguna TikTok termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seperti didakwa.
Sebaliknya kata Menterinya, Fahmi Fadzil akses sekatan ke atas akaun Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dilaksanakan sendiri oleh platform media sosial TikTok.
“Saya dapat aduan orang menuduh saya menutup akaun mereka tapi sebenarnya saya tiada kaitan, dilakukan contoh TikTok itu sendiri atau Facebook.
“Jadi bila Datuk Seri Mohammad Sanusi Md. Nor (Menteri Besar Kedah) menuduh kerajaan telah menutup akauan TikTok, bukan, TikTok sendiri lakukan,” katanya ketika ditemui media di SMK Sungai Pusu pada Sabtu.
Fahmi juga memberitahu, akaun TikTok Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh juga telah digantung selama 10 tahun.
“Bukan oleh saya tapi TikTok itu sendiri,” jelas Fahmi.
Untuk rekod pada 16 Julai baru-baru ini Sanusi bengang apabila akaun TikToknya disekat, semalam, malah menyifatkan ia sebagai usaha menghalang kemaraannya berkempen secara maya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kedah mahu pihak berkaitan mengaktifkan semula akaun media sosial popular miliknya itu bagi memudahkannya mendekati rakyat, khususnya menjawab pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap dirinya.
“TikTok (saya) tak dak dah la malam ni (sebab) kena padam. (Ada) 5.2 juta ‘like’ habis (hilang), pengikut pun juta jugak, nak buat lain kena cari seorang demi seorang lambat.
“Kalau mereka betul anak jantan, pulangkan TikTok saya,” katanya.
Sanusi mendakwa beberapa rakannya mengalami nasib sama apabila akaun TikTok mereka turut disekat.
“(Minta) pulangkan juga TikTok rakan-rakan yang di ‘ban’ (sekat) beberapa hari lepas contohnya TikTok milik Sir Azri kena (sekat).
“Medan kita nak jawab habis la, (sebab) kita tak boleh masuk TV (televisyen) dan radio, jadi guna TikTok dan Facebook ja, (tapi) Facebook budak-budak tak tengok la ni (dikatakan) hak orang tua,” katanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan itu seolah-olah Kerajaan Perpaduan yang didukung Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengamalkan pemerintahan ‘kuku besi’ bagi menyekat kemaraan parti lawan untuk bersuara menjelang PRN pada 12 Ogos ini.
“Menjelang PRN ini mereka akan guna kuku besi, hanya maklumat daripada mereka sampai kepada orang ramai, (manakala) jawapan balas kita tidak sampai.
“Lepas ini akan datang pelbagai cerita buruk yang tak sempat kita jawab kerana kita kekurangan media,” katanya.
Sementara itu, Fahmi juga memaklumkan platform media sosial seperti TikTok dan Meta bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan bagi membantu memastikan undang-undang negara dihormati dan tiada pelanggaran sepanjang tempoh berkempen enam PRN kali ini.
Jurucakap kerajaan itu berkata, pihaknya menjangkakan platform media sosial akan menjadi lebih rancak terutamanya menjelang hari pengundian pada 12 Ogos depan.
Justeru katanya, pemantauan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah dirancakkan sepanjang tempoh berkempen PRN.
“Tempoh hari saya mengadakan mesyuarat berzama Ketua Polis Negara untuk melihat apa yang perlu dilakukan untuk memantapkan pasukan pemanatauan terutama isu 3R (Isu agama, raja dan kaum) dan beberapa perkara telah dipersetujui dan dilaksana pada kadar segera memandangkan tempoh yang kita jangkakan.
“Kalau kita ambil pengajaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), jumlah kandungan dimuat naik sangat besar jumlahnya dan mungkin agak sukar untjk dipantau satu jumlah yang kecil.
“Tapi pada masa sama kita telah mendapat kerjasama platform seperi TikTok dan Meta, mereka sedia membantu memastikan undang-undang negara kita dihormati dan tiada pelanggaran sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau juga percaya garis panduan komuniti (Community Guidelines) yang ada pada setiap platform akan secara automatik diaktifkan apabila berlaku pelanggaran atau aduan dibuat oleh orang ramai.
Oleh itu, Fahmi meminta org ramai yang memantau atau mengikuti tempoh berkempen ini membuat laporan di platform sekiranya mereka mendapati apa yang disebut secara dalam talian itu melanggar undang-undang atau menimbul kegusaran.
Malah, katanya, mereka juga boleh membuat laporan polis untuk tindakan lanjut sekiranya perlu.
Dalam pada itu Fahmi juga menjelaskan, media bebas menggunakan platform masing-masing sepanjang tempoh berkempen selain mengadakan debat yang memang digalakkan.
Namun, katanya, tahap debat itu perlu supaya ia bukan hanya platform untuk melempar tomahan atau ejek mengejek.
“Bagi saya sebagai sebuah negara mengamalkan demokrasi, kita mesti mempraktikkan politik matang termasuk dengan amalan debat.
“Say percaya banyak platform sedia utk mengadakan, terpulang kepada calon sama ada mereka sedia untuk debat atau tidak,” katanya.
Fahmi pada masa sama mengingatkan calon dan penyokong untuk berkempen secara sihat dan mengelakkan fitnah serta elak menggunakan elemen 3R untuk berkempen.
“Kita tahu kita sedar kita ada hak berpolitik dan ini adalah demokrasi, tapi pada masa sama kita ada undang-undang-undang dan adab tatasusila,” kata Fahmi.