KUALA LUMPUR – Kerajaan dalam kerangka mengurangkan kebergantungan pada buruh asing kurang mahir yang menyumbang kepada nilai gaji keseluruhan yang rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini juga mengurangkan moral dan insentif majikan untuk berinovasi dan meningkatkan tahap berdaya saing.
“Kerajaan berhasrat melaksanakan levi pekerja asing berperingkat (tiered foreign worker levies), iaitu
sebahagian peningkatan hasil levi akan dikhususkan untuk program automasi serta latihan untuk pekerja tempatan,” katanya ketika berucap ketika Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada Khamis.
Jelas Anwar, dengan pulangan hasil daripada sasaran ekonomi negara yang lebih tinggi, maka tumpuan kerajaan adalah untuk meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.
Ujar beliau, ini merangkumi keperluan perlindungan sosial untuk semua, pekerjaan dengan gaji bermakna serta perkongsian kekayaan bagi membina sebuah masyarakat yang lebih saksama dan sejahtera.
“Mengambil kira pendapatan dan kekayaan negara selama ini yang tertumpu kepada kumpulan atasan atau golongan elit mahakaya, penting supaya hasil negara yang meningkat kelak turut diagihkan secara saksama kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menyebut, kejayaan pembaharuan struktur ekonomi perlu dihitung setakat mana ia mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan gaji yang bermakna kepada rakyat Malaysia.
“Kadar upah dan gaji buruh berbanding jumlah keseluruhan pendapatan di Malaysia adalah sebanyak 32.4 peratus bagi tahun 2022.
“Bagi mencapai perkongsian ekonomi yang lebih seimbang, kerajaan akan melaksanakan dasar yang menyokong peningkatan upah berbanding KDNK kepada tahap 45 peratus selaras dengan tahap negara lebih maju.
“Antara usaha termasuklah kajian semula tahap gaji minimum serta memperkenalkan undang-undang yang menjamin persekitaran kerja yang selamat dan selesa. Selain pelaksanaan gaji minimum, Kementerian
Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia sedang memperhalusi model gaji progresif ke arah kenaikan pendapatan yang lebih terangkum.
“Peningkatan pendapatan selaras dengan produktiviti adalah kritikal bagi memastikan tahap kualiti hidup yang bermakna dalam menangani cabaran kos sara hidup,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui bahawa majoriti rakyat termiskin ialah kaum Melayu dan Bumiputera; ini perlu kita bantu.
“Tetapi kita juga punyai kelompok kecil kaum lain yang hidup melarat. Maka, setiap rakyat Malaysia tanpa mengira jantina, kaum atau latar belakang perlu mempunyai peluang yang saksama bagi mengecap kejayaan yang bermakna sama ada dalam kerjaya atau perniagaan mereka.
“Kita mahu setiap insan di Malaysia berpotensi meraih peluang yang saksama dalam mewujudkan kemakmuran di negara ini.
“Atas prinsip keadilan sosial, kita perlu memberi peluang yang saksama khususnya melibatkan pemberian bantuan yang lebih kepada golongan yang terpinggir. Selaras dengan itu, pemberian biasiswa dan pendidikasekolah berasrama penuh akan mengutamakan golongan berpendapatan rendah.
“Pengalaman saya sewaktu Menteri Pendidikan dahulu adalah dengan mewujudkan sebuah sekolah di Cheras bagi membantu pelajar miskin. Saya memegang pada prinsip bahawa hanya melalui pendidikan berkualiti rakyat berupaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan,” ujar Anwar.