KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan komited untuk meneruskan subsidi Perkhidmatan Luar Bandar (RAS) tahunan berjumlah RM 209 juta untuk membantu operasi RAS yang tidak ekonomik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dalam pertemuannya semalam dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Openg dan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin di Kuching yang memfokuskan kepada perbincangan mengenai kerjasama erat antara Persekutuan dan Sarawak dalam hal ehwal pengangkutan udara.
“Selepas itu, saya menyaksikan Upacara Memorandum Persefahaman (MoU) pengambil alihan RAS di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak oleh Kerajaan Sarawak.
“Atas semangat Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani, saya memudahkan permintaan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan penerbangan butik yang berpangkalan Sarawak.
“Saya percaya kerajaan Sarawak komited dalam memberi perkhidmatan dan kertersambungan terbaik demi kebahagiaan rakyat Borneo,” katanya sambil menyatakan “kalau Sarawak maju, Malaysia pun maju”, dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, Abang Zohari berkata, keputusan berhubung pengambil alihan saham syarikat penerbangan MASWings Sdn Bhd antara Kerajaan Sarawak dengan Khazanah Nasional Berhad akan diketahui tidak lama lagi.
Menurut beliau tawaran Kerajaan Persekutuan bertujuan untuk membenarkan syarikat penerbangan sendiri itu dikendalikan oleh kerajaan negeri.