KUALA LUMPUR: Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa menuntut penjelasan lanjut mengenai dokumen yang didedah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada ia sebenarnya merupakan pelupusan hutang peneroka Felda atau pengeluaran sukuk.
Tegas Annuar, penjelasan daripada YAB Perdana Menteri amat penting agar rakyat tidak terkeliru dengan dokumen yang telah didedahkan di akaun media sosial Perdana Menteri.
“Setahu saya, kabinet luluskan pelan pemulihan FELDA pada bulan Oktober 2020 lagi. Penghapusan hutang peneroka di laksana tahun 2021,
“Tindakan lain dalam melaksanakan pelan pemulihan Felda memang memakan masa lebih panjang termasuk SUKUK dengan jaminan kerajaan (yang YAB PM tandatangan atas kapasiti sebagai Menteri Kewangan agaknya),
“Apa pun rakyat jadi keliru dgn posting YAB PM. Mungkin PM boleh buat pencerahan lanjut.. dokumen itu dokumen pengeluaran SUKUK… atau dokumen pelupusan hutang peneroka,
pohon pencerahan.” tanya Annuar Musa di Facebooknya, pada Khamis.
Dalam pada itu, Annuar mengucap terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana ‘upload’ (memuatnaik) dokumen yang dikatakan Perdana Menteri tandatangan sebagai bukti Perdana Menteri yang hapuskira hutang peneroka Felda.
“Tapi saya tengok dokumen itu macam mengenai terbitan sukuk yang di putuskan akhir tahun 2020 dan di terbitkan secara berperingkat. Kalau tak silap saya, ini bukan SUKUK pertama, tapi mungkin yg ketiga.Yang pasti ini bukan dokumen penghapusan hutang peneroka.” jelas beliau.
BACA:
- https://suara.tv/20/07/2023/anwar-sudah-kemuka-bukti-dokumen-lupus-hutang-felda-tuntut-muhyiddin-pula-mohon-maaf/
- https://suara.tv/20/07/2023/itu-dokumen-sukuk-berjaminan-kerajaan-bukan-perjanjian-lupus-hutang-felda-marzuki-beritahu-anwar/
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) berkait jaminan kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang telah beliau tandatangani pada 26 Jun 2023.
Justeru pembuktian itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mendesak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan terhadap beliau.
Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini turut mengesahkan bahawa perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) telah ditandatangani Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 26 Jun 2023.
“Seperti diumumkan melalui siaran akhbar MOF bertarikh 28 Jun 2023, perjanjian ini melibatkan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.
“Di bawah perjanjian, kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun.
“Sehubungan itu, MOF juga ingin mengesahkan bahawa penyaluran pertama RM990 juta telah dilaksanakan pada 18 Julai 2023 selaras dengan peruntukan yang telah disediakan di dalam Belanjawan Madani 2023.
“Penyempurnaan perjanjian jaminan kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada Felda merupakan elemen penting yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kelangsungan Felda antara lain mengambil kira antaranya impak kepada aliran tunai dan kedudukan kewangan Felda berikutan penghapusan hutang peneroka,” kata MOF lagi.